SUKMA
Gunakan Universiti sebagai kemudahan Sukan SEA 2027 -- Datuk Dr Pekan Ramli
Penganjuran Sukan SEA 2027 mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk Ketua Seksyen Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dr Pekan Ramli, untuk Malaysia diangkat sebagai tuan rumah kepada sukan berpestij itu.
Walaupun penganjuran temasya sukan itu menelan kos sebanyak RM 700 juta namun, Dr Pekan berpendapat kos itu boleh dikurangkan dengan syarat tiada pihak yang mengambil kesempatan.
"Kita boleh menggunakan fasiliti sedia ada untuk menjimatkan kos penganjuran seperti di universiti tempatan. Hal ini kerana, Sukan Intitusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) juga mampu menawarkan penganjuran bermutu tinggi dengan penglibatan atlet yang ramai.
Iklan
"Kita boleh menggunakan kelestarian tersebut sebagai kelebihan tanpa perlu membelajakan satu jumlah yang agak besar untuk membina aset sukan yang baru," katanya.
Dalam masa sama, keterbukaan negeri Sarawak dalam menawarkan diri untuk menganjurkan beberapa acara di sana juga menerima sambutan positif daripada pihak lain.
Dia berpendapat kepentingan penganjuran Sukan SEA adalah untuk memberi platform terbaik buat barisan atlet muda negara untuk menyerlah.
Tambahnya; "Saya melihat keterujaan kerajaan negeri Sarawak yang menawarkan diri sebagai salah satu tuan rumah sangat praktikal kerana mereka boleh mengekalkan kemudahan daripada penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung Ogos ini.
Must-Watch Video