Kurang daripada 24 jam lagi sebelum bermulanya perlawanan Grand Finale Varsity Sepaktakraw League 2024, dengan skuad Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi tumpuan apabila hampir semua yang berada dalam pasukan itu berpengalaman di saingan Sepak Takraw League (STL) dan Piala Tun Ali.
Faktor itu semestinya akan memberikan sedikit tekanan buat apit kanan UPM, Wan Firdhaus Wan Omar, yang juga beraksi buat pasukan Johor Tigris di saingan STL musim ini, di mana dia berharap dapat menggunakan pengalamannya dalam membantu pasukannya itu dalam aksi final yang akan berlangsung di Dewan Kompleks Kejiranan, Presint 11 Putrajaya nanti.
"Untuk tekanan semestinya ada, kerana setiap universiti ada kelebihan masing-masing. Daripada segi latihan, dengan pertandingan yang kami sertai seperti STL dan Piala Tun Ali, kami akan bersiap sedia untuk aksi final ini nanti." katanya.
Sementara itu, tekong UPM pula, Muhammad Faris Syahmi, yang masih segar beraksi di Piala Tun Ali bersama Perak sebelum ini berharap dapat menonjolkan konsistensi dan menggesa rakan sepasukan supaya tidak ambil mudah mana-mana pasukan lawan.
"Kami tidak boleh ambil mudah pasukan lawan kerana sudah banyak pengalaman tewas mudah walaupun keputusan di atas kertas berpihak kepada kami.
"Kami sudah berlatih lebih sebulan, jadi kami capai sasaran jurulatih." tambahnya lagi.
Saufi Tahir
Wed Dec 18 2024