Grand Final VSL 2024: KPT optimis lahirkan ramai pelapis sepak takraw kebangsaan

Saufi Tahir
Disember 24, 2024 21:03 MYT
Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dr. Hanafiah Ayub, berpuas hati dengan Kejohanan Grand Finale Varsiti Sepaktakraw League (VSL) 2024 yang dianggap semakin kompetitif dari masa ke samasa.
Pihak kementerian juga menyasarkan lebih ramai atlet Institut Pengajian Tinggi yang akan menyertai skuad kebangsaan dalam tempoh dua tahun akan datang sekali gus menjadi pelapis negara.
Malah, dia turut tidak menafikan kemungkinan terdapatnya model baru yang akan diperkenalkan dalam kejohanan tahun depan dengan penyertaan beberapa jenis sukan lain.
"Dalam peringkat kementerian kami melihat momentum kejohanan ini di landasan yang tepat dengan kualiti dan usaha pasukan. Kualiti perlawanan kebiasaannya akan dibawa ke set penentuan jadi ia kompetitif.
"Pada tahun hadapan akan diteruskan cuma bezanya kementerian akan melaksanakan model baru yang digelar 'Varsity Sport Champiopnship' dimana akan ada sukan-sukan lain.
"Kami sasar dua tahun akan datang lebih ramai atlet kita akan menjadi pelapis negara," katanya.
Perejam Terbaik Kejohanan Grand Finale Varsiti Sepaktakraw League (VSL) 2024, Mohamad Haizam Huzairi, tidak menjadikan tempat latihan yang tidak sempurna sebagai alasan untuk dia melangkah lebih jauh.
Malah, dia turut menjadikan figura pemain Kuala Lumpur (KL) Thunder, Azlan Alias, sebagai idola dalam kancah sepak takraw.
"Terima kasih kepada keluarga yang menyokong saya serta barisan jurulatih. Saya banyak bermain dalam kategori beregu kerana sasaran saya sangat tinggi.
"Dalam latihan jika di IPT bukanlah tempat yang sempurna kerana tempat berlatih yang keras dan jika hujan tidak boleh berlatih kerana tiada bumbung.
"Jadi jurulatih akan cari alternatif untuk meneruskan momentum kami. Saya banyak lihat video Azlan Alias dan ingin jadi seperti dia." tambahnya.
#Sepak Takraw #KPT #Grand Final VSL 2024
;