F1
GP Perancis: Ricciardo tidak kesal dikenakan dua penalti
Daniel Ricciardo dikenakan dua penalti lima saat selepas meninggalkan trek Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Perancis, sekali gus menamatkan perlumbaan itu di tangga ke-11 meskipun berakhir di tempat ketujuh.
Dalam aksi di Litar Paul Ricard itu, Lewis Hamilton memecut deras 18 saat di depan rakan sepasukan Mercedes, Valtteri Bottas, untuk muncul juara manakala pelumba muda Ferrari, Charles Leclerc, ketiga.
Pemandu Renault itu mengakhiri aksi awal pagi tadi tanpa sebarang mata biarpun mempamerkan beberapa pemanduan berbahaya yang menyumbang kepada penamatnya yang baik.
Ricciardo memaksa Lando Norris mengelaknya ketika dia kembali ke trek setelah melebarkan pemanduannya sebelum melintasi garis luar trek untuk mengatasi Kimi Raikkonen.
Pegawai perlumbaan menganggap insiden pertama itu sebagai "tidak selamat untuk memaksa pemandu lain terbabas dari trek" yang mendorong kepada penalti selama lima saat selain dua mata penalti dikenakan ke atas Lesen Super miliknya.
Sementara itu, gerakan berbahaya terhadap Raikkonen pula, pemandu Australia itu dianggap telah "meninggalkan trek dan memperoleh kelebihan berkekalan".
Untuk itu, dia sekali lagi dihukum dengan penalti lima saat.
Keputusan perlumbaan kemudian mengumumkan Ricciardo tergelincir ke tangga ke-11 di belakang Raikkonen, Nico Hulkenberg, Norris dan Pierre Gasly.
Bercakap mengenai hukuman tersebut, dia langsung tidak mempedulikan penalti yang dikenakan.
"Apabila trek itu luas, anda perlu membuat sedikit persediaan. Ia adalah pusingan terakhir yang menyeronokkan," katanya.
"Sejujurnya, apa jua yang berlaku, saya tidak begitu peduli.
"Saya fikir ia menyeronokkan dan adalah lebih baik untuk berjuang dan melihat apa yang bakal berlaku daripada hanya memeluk tubuh dan menjadi pemandu yang tewas. Jadi, ya saya menggemarinya (aksi sebegitu)."