Skip to main content

Permotoran

GP Assen: Marquez juara, Hafizh di tangga ke-18

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

marquez-cropped_94t5dhwv6g21elr1qcljn641.jpg
Marc Marquez menjuarai perlumbaan Grand Prix Assen untuk mengukuhkan cengkaman di persada senarai keseluruhan sementara pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah, menamatkan saingan di tangga ke-18, sebentar tadi.

Hafizh, yang memulakan saingan di petak ke-15, gagal mengatasi pencapaian di tangga ke-16 di Jerez dan ke-12 di Le Mans dan Mugello.

Perlumbaan diungguli Marquez menerusi jurang 2.269 saat di depan pencabar terdekat, Alex Rins, dengan aksi begitu sengit menyaksikan Marquez hanya mampu mendahului saingan ketika berbaki empat pusingan lagi.

Jorge Lorenzo, yang memulakan saingan di petak ke-10, cemerlang mendahului saingan pada awal tetapi dikejar rapat Marquez, Valentino Rossi, Andrea Dovizioso, Alex Rins dan Maverick Vinales sepanjang perlumbaan, sekali gus menyaksikan Lorenzo gagal mengekalkan pendahuluan untuk menamatkan saingan di tangga ketujuh.

Pelumba Suzuki, Rins, berjaya mengatasi Vinales dalam pusingan terakhir untuk mencatat penamat terbaik dalam karier, muncul naib juara di Litar Assen sementara Vinales melengkapkan kedudukan podium.

Pelumba Ducati, Dovizioso, terpaksa akur terlepas podium dan mengisi tangga keempat.

Marquez mengungguli kedudukan teratas senarai pelumba dengan 140 mata, 41 mata meninggalkan Rossi di tempat kedua dan Vinales ketiga manakala Hafizh kekal di tangga ke-17 dengan 17 mata setakat musim ini.

Sementara itu, keputusan Moto2 hari ini menyaksikan Francesco Bagnaia dari pasukan Kalex muncul juara menerusi catatan masa 39 minit 30.436 saat.

Fabio Quartararo meraih naib juara dan Alex Marquez melengkapkan podium manakala seorang lagi pelumba negara, Khairul Idham Pawi, menamatkan perlumbaan di tangga ke-19.

Jorge Martin menjuarai Moto3 menerusi catatan 37 minit 56.485 saat, Aron Canet naib juara sementara Enea Bastianini ketiga, dengan pelumba negara, Adam Norrodin, menamat perlumbaan di tangga ke-21.

Keputusan Grand Prix Assen

1. Marc Marquez (Repsol Honda)
2. Alex Rins (Suzuki Ecstar) +2.269 seconds
3. Maverick Vinales (Movistar Yamaha) +2.308
4. Andrea Dovizioso (Ducati) +2.422
5. Valentino Rossi (Movistar Yamaha) +2.963
6. Cal Crutchlow (LCR Honda) +3.876
7. Jorge Lorenzo (Ducati) +4.462
8. Johann Zarco (Monster Yamaha Tech 3) +7.001
9. Alvaro Bautista (Angel Nieto) +7.541
10. Jack Miller (Alma Pramac) +13.056
11. Andrea Iannone (Suzuki Ecstar) +14.255
12. Pol Espargaro (KTM) +15.876
13. Aleix Espargaro (Aprilia) +15.986
14. Scott Redding (Gresini) +16.019
15. Dani Pedrosa (Repsol Honda) +16.043

Kedudukan keseluruhan

1. Marc Marquez (Repsol Honda) 140
2. Valentino Rossi (Movistar Yamaha) 99
3. Maverick Vinales (Movistar Yamaha) 93
4. Johann Zarco (Monster Yamaha Tech 3) 81
5. Andrea Dovizioso (Ducati) 79
1. Movistar Yamaha 192
2. Repsol Honda 181
3. Ducati 154
4. Alma Pramac Racing 126
5. Suzuki Ecstar 124

Advertisement

Must Watch Video