Skip to main content

Sukan Lain

Golf Terbuka British: Lowry sukar percayai ketenangan dalam kejayaan di Portrush

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

lowry.jpg
Shane Lowry mengakui berada di awang-awangan dengan berasakan rohnya seakan-akan menjelajah keluar dari tubuhnya selepas menyempurnakan kejayaan dalam Kejohanan Golf Terbuka British di Royal Portrush, awal pagi tadi. 

Sepuluh tahun selepas merakamkan kejayaan sensasi memenangi Terbuka Ireland sebagai pemain amatur, dia sekali lagi melangkaui segala jangkaan dengan meraih gelaran utama sulungnya setelah menampilkan prestasi luar biasa.

Selepas mendahului permainan dengan empat pukulan dengan melakukan 63 pukulan semalam, pemain Ireland itu mengekalkan ketenangannya untuk mencatat satu di atas par dalam pusingan terakhir ketika beraksi dalam keadaan cuaca yang mencabar.

Kemenangan Lowry itu hampir tidak tergugat pada hari terakhir saingan tatkala dia mengekalkan pendahuluan selesa ketika bersaing dengan rakan sepermainannya, Tommy Fleetwood.

"Secara jujurnya, saya berasa seperti di awang-awangan," kata Lowry kepada Sky Sports sambil mencerminkan usahanya.

"Saya begitu tenang ketika di lubang terakhir, sukar untuk mempercayainya."

Ditanya bagaimana dia tetap tenang di bawah tekanan yang berat, Lowry menjawab: "Saya akan bersikap jujur kepada anda, sebenarnya (perasaan saya) tidak (tenang)!"

Dia kemudian memuji kedinya, Brian 'Bo' Martin, yang memainkan peranan penting dalam kemenangannya itu sambil menambah: "Saya banyak bercakap dengan Bo hari ini, saya berkata kepadanya, 'jujur, saya tidak boleh berhenti memikirkan soal kemenangan, saya tidak boleh berhenti berfikir tentang menjulang trofi Claret Jug. 

"Selepas enam atau tujuh lubang, sepanjang hari dia kerap berpesan kepada saya supaya 'kekal (fokus) bersama saya, kekal bersama saya.'

"Dia berada di samping saya dan dia terus bercakap sebegitu. Dia begitu hebat atas usaha yang dilakukannya hari ini.

"Ia (aksi yang) sukar di lapangan berikutan cuaca yang mencabar. Saya tidak bermain dengan baik di pertengahan saingan tetapi (semangat saya bertambah) selepas melihat kedudukan mata dan melihat semua orang sedang bergelut.

"Saingan ini kemudiannya berubah menjadi persaingan dua penjuru -- persaingan di antara saya dan Tommy. Saya fikir ia langkah yang bagus buat saya. 

"Seboleh mungkin saya cuba memberikan tumpuan demi terus mendahului Tommy."

Selepas menerima trofi Claret Jug, Lowry berkata: "Untuk menikmati saingan Kejohanan Terbuka British di kepulauan Ireland, Kelab Golf Royal Portrush, adalah sesuatu yang menakjubkan. 

"Buat sukarelawan dan peminat -- terima kasih banyak-banyak, kejayaan ini untuk anda."

Dia juga sempat menonjolkan emosinya apabila mengucapkan terima kasih kepada ibu-bapanya sambil menambah: "Mereka banyak berkorban ketika saya masih muda dan saya sangat gembira kerana berpeluang menyerahkan trofi ini kepada mereka malam ini."

Kedudukan terakhir (10 teratas):
 
-15: Shane Lowry
-9: Tommy Fleetwood
-7: Tony Finau
-6: Lee Westwood, Brooks Koepka
-5: Robert MacIntyre, Tyrrell Hatton, Danny Willett, Rickie Fowler
-4: Patrick Reed

Advertisement

Must Watch Video