Skip to main content

Sukan Lain

Golf Terbuka British: Holmes dahului hari pertama

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

jbholmes.jpg
J.B. Holmes membuat kejutan dengan mendahului Kejohanan Golf Terbuka British pada hari pertama saingan yang wajar dilupakan Rory McIlroy dan Tiger Woods di Royal Portrush, semalam.

Pemain Amerika Syarikat (AS) itu, yang pencapaian terbaiknya adalah tempat ketiga dalam kejohanan sama di Royal Troon tiga tahun lalu, mendahului bersendirian dengan catatan lima di bawah par 66.

Dia cuma berada satu pukulan di depan Shane Lowry sambil Jon Rahm – yang berprestasi baik selepas memenangi Terbuka Irish awal bulan ini – turut berkelebihan dengan lima bawah par pada satu ketika sebelum dua bogey lewat menempatkannya bersama 13 pemain lain di tangga ketiga.

Juara empat gelaran utama, Brooks Koepka, mengikuti rapat dua pukulan di belakang di samping Sergio Garcia, Tyrrell Hatton dan Ryan Fox, yang mencipta rekod catatan terendah bagi sembilan lubang kedua dalam sejarah Terbuka British dengan 29 pukulan.

Perkara yang sama, bagaimanapun, tidak boleh dikatakan terhadap McIlroy, yang disandarkan harapan besar di Portrush, tetapi bermula hambar dengan lapan di atas par 79.

Peluang Woods untuk meraih trofi Claret Jug buat kali keempat turut kelihatan musnah apabila juara Masters AS itu hanya mampu mencatat 78.

Sementara itu, Holmes gembira dapat menterjemahkan perancangannya dengan sempurna, dengan birdie di lubang terakhir melengkapkan hari cemerlang buat pemain berusia 37 tahun itu.

“Saya melakukannya dengan hebat,” katanya. “Saya tidak terlepas terlalu banyak pukulan.

“Saya melakukan putt dengan baik di samping mengikuti perancangan saya sebaik yang terdaya.”

Ada waktu-waktunya apabila lapangan Portrush itu terasa benar-benar seperti sebuah lapangan ‘links’, dengan angin kuat diiringi hujan lebat tetapi Holmes menikmati cabaran sedemikian.

“Anda harus menerima keadaannya di sini dan tidak terlalu tamak dalam permainan,” jelasnya.

“Cuba untuk tempatkan bola di bahagian besar green dan berharap untuk menyudahkannya dengan putt yang baik.

“Ia berbeza dengan keadaan di AS apabila anda boleh menyasarkan setiap pin. Di sini, anda perlu fikirkan untuk meletakkan bola di kedudukan yang baik di atas green dan cuba membenam putt anda,” katanya lagi.

Kedudukan pendahulu:

-5: J.B. Holmes

-4: Shane Lowry

-3: Alex Noren, Sergio Garcia, Webb Simpson, Dylan Frittelli, Robert MacIntyre, Kiradech Aphibarnrat, Ryan Fox, Tyrrell Hatton,Tommy Fleetwood, Brooks Koepka, Lee Westwood, Tony Finau, Jon Rahm

-2: Romain Langasque, Justin Rose, Park Sang-hyun, Ashton Turner

Advertisement

Must Watch Video