Golf Remaja Antarabangsa Selangor: Bintang muda Korea Selatan teruskan dominasi

Muzaffar Musa
Januari 17, 2025 21:09 MYT
Bintang muda Korea Selatan, Jung Ji Won, terus mendominasi Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor 2025 selepas menamatkan saingan hari kedua dengan keputusan cemerlang.
Ji Won, yang mencari tumpuan sejak hari pertama, mengekalkan konsistensi permainan dengan mencatat 69 pukulan, 8 di bawah par, selepas melengkapkan 36 lubang dalam tempoh 48 jam di Kelab Seri Selangor hari ini.
Bagaimanapun, kesilapannya ketika melakukan putting di lubang ketujuh dan kesembilan menyebabkan bogey dan sedikit menganggu fokusnya.
Meskipun begitu, Ji Won tetap dapat menamatkan permainan dengan kelebihan tiga pukulan mengatasi pencabar utama, Sakutoshi Yamazaki.
Keputusan itu turut memperkukuh kedudukannya dengan melebarkan kelebihan ke atas Shinichi Suzuki, yang merupakan naib juara edisi lalu.
“Padang golf ini, terutama di bahagian green, sangat mencabar dan laju.
“Saya melakukan kesilapan ketika pukulan pertama dan kemudian mudah mencatatkan tiga putt.
“Oleh itu, saya perlu memberi perhatian penuh dan memastikan pukulan pertama berada di lokasi yang tepat.
“Hari ini, hampir keseluruhan fokus saya tertumpu kepada cara untuk melakukan putting dengan baik.
“Saya rasa putting adalah elemen paling penting di padang ini," katanya.
#Golf #Golf Remaja Antarabangsa Selangor
;