GOLD COAST 2018
Gold Coast 2018: Syafiq tekad cetus sensasi
Buat penampilan kali pertama, penerjun negara, Muhd Syafiq Puteh, tidak mahu kehadirannya sekadar makan angin, sebaliknya turun dengan misi mencipta sensasi menerusi dua acara yang disertai dalam Sukan Komanwel di Gold Coast.
Penerjun 22 tahun itu hampir berputus asa dalam kariernya apabila dilanda kecederaan pada kedua-dua pergelangan tangan pada usia 14 tahun.
Berehat selama setahun bagi memulihkan kecederaan, Syafiq akhirnya mengetuk pintu skuad elit tiga tahun lalu dengan penyertaan dalam Sukan SEA 2015 dan 2017.
Sehubungan itu, Syafiq berasa kerja kerasnya selama ini berbaloi dan berharap pentas sulung Sukan Komanwel mampu menjelmakan sesuatu, terutama dalam acara 1m papan anjal.
"Sasaran saya adalah mahu ke final 1m papan anjal. Insya-Allah saya akan melakukan yang terbaik dalam acara itu selain 3m papan anjal seirama," katanya.
Sementara itu, rakan senegera Syafiq, Jasmine Lai Pui Yee, tidak mahu sesiapa cuba membandingkannya dengan penerjun senior, Wendy Ng Yan Yee, yang digantung kerana gagal ujian doping.
Dia bakal beraksi dalam acara 3m individu papan anjal yang merupakan acara rutin Yan Yee, selain 1m papan anjal.
"Tidak boleh dibandingkan sebab semasa terjun itu kadang-kadang rasa terganggu. Ia lebih kepada kerisauan," katanya.