SUKAN LAIN
Gold Coast 2018: PTAM enggan ambil risiko hantar Fuad
Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) menjelaskan mereka tidak mahu menanggung risiko menghantar Muhammad Fuad Mohd Redzuan ke Sukan Komanwel, April depan kerana risaukan kecederaannya akan bertambah serius meskipun dijangka sempat pulih sebelum temasya itu bermula.
Penarikan diri Fuad adalah atas saranan Institut Sukan Negara (ISN) selepas atlet terbabit mengalami kecederaan serius di bahagian pipi kirinya ketika beraksi dalam kejohanan Pra-Sukan Asia di Jakarta, bulan lalu.
Jelas Setiausaha Kehormat PTAM, Mohd Shamsul Deran, meskipun Fuad dijangka mampu pulih dalam tempoh empat hingga enam minggu, PTAM enggan mengambil risiko menghantarnya bersaing kerana potensi kecederaan tersebut berulang adalah tinggi dan ia mungkin akan menjejaskan kariernya.
Iklan
"Saya tidak mahu mengambil risiko mengenai kecederaan yang dialamii oleh Fuad. Dia masih lagi mampu beraksi dalam Sukan Asia," katanya.
Fuad dipilih ke Gold Coast berdasarkan pencapaiannya meraih emas pertama tinju dalam penyertaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam kategori bawah 49kg.
Meskipun tiada wakil Malaysia bagi acara tinju untuk Sukan Komanwel kali ini, Shamsul menjelaskan Fuad masih meneruskan latihan seperti biasa dan akan mengikuti latihan di Kazakhstan, Jun depan, sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos depan.
"Kami akan membawanya ke Kazakhstan untuk terus menjalani latihan di sana," ujarnya.
Must-Watch Video