Skip to main content

Sukan Asia

Gold Coast 2018 labuhkan tirai penuh gilang-gemilang

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

closing.jpg

Selepas 11 hari pertandingan, Sukan Komanwel 2018 melabuhkan tirai dalam upacara gilang-gemilang dan padat dengan persembahan hiburan di Carrara Sports and Leisure Centre di Gold Coast, Australia, malam ini.

Tuan rumah, Australia, mengungguli temasya kali ini selepas meraih 80 pingat emas, 59 perak dan 59 gangsa, diikuti England di tempat kedua dengan 45 emas, 45 perak dan 46 gangsa, manakala India di kedudukan ketiga selepas mengumpul 26 emas, 20 perak dan 20 gangsa.

Advertisement

Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-12 selepas meraih tujuh pingat emas, lima perak dan 12 gangsa.

Presiden Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), Louise Martin, dalam ucapannya berkata edisi 2018 mencipta sejarah tersendiri apabila acara ragbi tujuh sebelah wanita, bola tampar pantai dan triatlon para menawarkan pingat buat kali pertama dalam sejarah Sukan Komanwel.

Beliau berkata atlet yang beraksi dalam temasya kali ini menampilkan aksi yang hebat selaku pemegang rekod dunia dan mempamerkan semangat juang tinggi dan persembahan mantap daripada atlet muda.

“Ketika temasya sukan ini sudah semakin hampir ke penghujung, masa depan Sukan Komanwel sangat cerah, malah edisi 2018 ini lebih relevan daripada sebelum ini.

“Kita sudah menyaksikan sukan berprestasi tinggi di tahap terbaik di Gold Coast. Atlet, pegawai pasukan, sukarelawan, penonton dan media berkongsi atas kejayaan dan cabaran ini bersama-sama dengan atlet dalam 275 acara sukan,” katanya.

Beliau juga menghargai sumbangan 15,000 sukarelawan yang berusaha menjadikan temasya ini suatu kenyataan dan berjaya.

Penyanyi lagu indie dan penulis lirik serta penerbit dari Gold Coast, Amy Shark, memulakan persembahan dengan lagu ‘Let Love Rule’, diikuti persembahan Archie Roach, diiringi Voice of Birralee dan juga Yugambeh Youth Choir.

Pada masa yang sama, penonton dihiburkan dengan persembahan Restless Dance Theatre di pentas satelit ​​​ketika Archie dan Amy melakukan persembahan.

Persembahan hiburan diteruskan oleh Ricki-Lee dan The Koi Boys sebelum Anthony Callea menyanyikan lagu ‘You Should be Dancing’ dengan disertai para atlet.

Barisan atlet yang menyertai temasya sukan berkenaan, kemudian bersama-sama memeriahkan majlis penutup itu, sambil tepukan  gemuruh daripada 35,000 orang yang menyaksikan upacara berkenaan.

Bendera Sukan Komanwel kemudian diturunkan dan diserahkan kepada Datuk Bandar Gold Coast, Tom Tate, yang kemudian diserahkan kepada Martin. 

Selepas itu, Martin menyerahkan bendera Sukan Komanwel kepada tuan rumah Sukan Komanwel 2022, yang diterima Datuk Bandar Birmingham, Anne Underwood.

Di penghujung acara berkenaan, venue majlis penutup itu bergema dengan persembahan terakhir yang membawa mesej ‘Put a Little Love in Your Heart’.

-- BERNAMA

Must Watch Video