Skip to main content

Sukan Lain

Gold Coast 2018: Kem kebangsaan tunggu laporan ISN

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

farah-ann_3.jpg
Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Gold Coast kini berdepan keresahan isu kecederaan
pada saat-saat akhir membabitkan atlet tatkala temasya itu bakal bermula kurang dua minggu
lagi.


Barisan atlet negara yang akan ke Gold Coast tetap menjalani latihan seperti biasa, malah ada
yang sedang beraksi dalam kejohanan pemanas badan.

Menurut ketua kontinjen Malaysia, Huang Ying How, mereka kini menanti laporan
perubatan daripada Institut Sukan Negara (ISN) bagi melakukan perubahan jika ada atlet
yang sah mengalami kecederaan.

Seboleh-bolehnya, katanya, beliau tidak mahu ada atlet yang terlepas peluang untuk menyumbang kepada kejayaan negara di Gold Coast hanya kerana keterlaluan dalam persiapan mereka.

"Ketika ini, saya masih menunggu laporan daripada ISN sehingga Isnin atau Selasa depan sekiranya ada atlet yang berdepan masalah.

"Nasihat saya kepada atlet adalah sekarang merupakan waktu paling baik untuk berehat menunggu masa untuk beraksi selepas mengharungi tempoh latihan sebelum ini," kata Ying How.

Sementara itu, pegawai sukan negara memuji keputusan Menteri Belia dan Sukan, Khairy
Jamaluddin, untuk mengumumkan sasaran pingat Malaysia di Gold Coast pada Selasa depan.

Antara individu yang menyambut baik usaha itu adalah Penolong Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, serta atlet 110 meter berpagar negara, Rayzamshah Wan Sofian.

"Seseorang harus menetapkan sasaran dan jika pihak menteri mahu mengumumkannya, ia sesuatu yang bagus. Jika sasaran itu dapat dicapai, ia memberikan inspirasi kepada seluruh kontinjen untuk terus beraksi dengan baik. 

"Amat penting untuk mendapatkan keyakinan dalam kalangan atlet," kata Kok Chi.

"Pengumuman itu sangat bagus buat atlet kerana ia membuktikan kami mempunyai sasaran apabila turun beraksi. Kami akan lebih fokus," tambah Rayzamshah.
 

Advertisement

Must Watch Video