SUKAN LAIN

Gold Coast 2018: Jamil perlukan seorang pembantu

Penulis Jemputan 16/02/2018 | 09:41 MYT
Jurulatih powerlifting negara, Jamil Adam, berharap Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mampu mempertimbangkan permintaannya untuk membawa seorang penolong ke Sukan Para Komanwel Gold Coast, April depan bagi mengurus persiapan atlet di sana.
Biarpun Malaysia hanya menghantar dua atlet untuk bertanding di Gold Coast dalam acara powerlifting, menerusi Jong Yee Khie dan Bonnie Bunyan, Jamil tetap memerlukan seorang pembantu.
Keperluan itu wujud bukan sahaja untuk mengurus keadaan atlet itu sendiri, namun turut bertindak sebagai pencari maklumat pesaing lawan untuk dianalisis.
"Setakat ini, pencalonan awal yang saya lihat hanya seorang jurulatih dan dua atlet. Tetapi kalau kita mahu ia lebih lancar, kita sekurang-kurangnya ada dua orang untuk mengendalikan setiap acara," katanya.
Bagi Sukan Komanwel, hanya empat kategori dipertandingkan, iaitu bawah 82kg lelaki dan wanita serta atas 82kg lelaki dan wanita.
Selain meletakkan sasaran pingat ke atas Yee Khie yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Para Komanwel Glasgow 2014, Jamil optimis Bonnie mampu mencipta kejutan berdasarkan pencapaiannya dengan memecahkan rekod dunia dalam Kejohanan Powerlifting Remaja Dunia di Mexico, September lalu dengan angkatan 145kg.
"160kg saya boleh buat. Tetapi saya berehat lama dan kini sedang memulihkan semula momentum," kata Bonnie.
;