PARA ASEAN 2017
Goalball: Aksi dengan Thailand lebih penting
Skuad goalball para lelaki negara menganggap kemenangan ke atas Laos harus dilupakan menjelang aksi kedua berdepan Thailand esok yang jauh lebih sukar dalam saingan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017.
Selepas menumbangkan cabaran Laos 16-6, pasukan negara pastinya perlu menggandakan usaha untuk berdepan seteru utama, Thailand, dalam perlawanan kedua kerana pasukan negara jiran itu belum pernah tewas, sekaligus mengesahkan status selaku juara bertahan sejak tahun 2005 sehingga saingan 2015 di Singapura.
Bagi kapten skuad negara, Husnaini Samsuddin, pertemuan dengan Thailand pastinya lebih epik kerana lawan adalah seteru utama mereka.
“Seteru utama kami adalah Thailand dan mereka lebih mencabar buat kami.
“Kami perlu meningkatkan lagi usaha untuk bertemu mereka,” kata Husnaini.
Sementara itu, bagi skuad wanita, kekalahan 3-9 di tangan Laos yang merupakan pemenang pingat perak Sukan Para ASEAN 2015 sememangnya sudah dijangka memandangkan mereka belum pernah berdepan mana-mana pasukan dari luar sebelum ini.
Bagaimanapun, mereka diharapkan sekurang-kurangnya mampu memberikan tentangan sengit dalam aksi kedua menentang Myanmar, esok.
“Kami tidak mengharungi sebarang perlawanan atau latihan di luar negara, latihan kami di sini hanya berlangsung selama tiga bulan,” ujar ketua jurulatih para wanita negara, Nagoor Meera Abdullah.