Skip to main content

Sukan Asia

Gimrama: Izzah raih pengalaman berharga di Gold Coast

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

gimrama11418.jpg
Gimnas muda negara, Izzah Amzan, mengakui memperoleh pengalaman berharga dalam penampilan pertamanya dalam temasya Sukan Komanwel dan akan cuba menerapkannya dalam kejohanan-kejohanan lain yang bakal disertainya.

"Ia sesuatu yang berbeza daripada ketika beraksi dalam Sukan SEA dan ia memberi satu pengalaman yang sangat berharga untuk saya.

"Persaingan dalam Sukan Komanwel sangat kuat," kata gimnas berusia 18 tahun itu ketika ditemui sebaik tiba dari Gold Coast, Australia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) awal pagi tadi.

Menurutnya, pesaing khususnya dari negara tuan rumah, Australia, di samping Kanada, England dan Cyprus adalah sangat hebat.

"Mereka mempunyai mentaliti dan fizikal yang kuat...rutin yang lancar sepanjang persembahan dan memiliki minda yang hebat. Saya mahu jadi seperti mereka," katanya.

Walaupun hanya sebutir pingat perak yang dibawa pulang Izzah secara peribadi melalui acara keseluruhan berpasukan bersama-sama Amy Kwan Dict Weng dan Koi Sie Yan, dia tidak terkilan kerana tidak memenangi sebarang pingat dalam apparatus individu biarpun layak beraksi dalam acara bola dan gelung individu.

Untuk rekod, Izzah menamatkan saingan akhir acara bola dan gelung individu, masing-masing di tempat keenam.

Pun begitu, ia sekali gus berjaya merealisasikan sasaran awalnya untuk melayakkan diri ke peringkat akhir apparatus individu.

"Ini Sukan Komanwel yang pertama dan saya masih muda, saya masih ada peluang untuk mencapai kejayaan.

"Seperti juga Amy masa di Glasgow, dia menang hanya pingat gangsa dan di Gold Coast dia boleh menang pingat emas, jadi saya juga boleh capai kejayaan seperti itu.

"Walaupun hanya menang satu pingat perak, saya rasa gembira dan rasa bangga sebab dapat turut membantu pasukan dalam mendapatkan pingat.

"Semasa beraksi dalam Sukan Komanwel, saya tidak berasa tekanan...ini adalah Sukan Komanwel pertama saya, jadi tiada tekanan," katanya.

Seperti juga Amy dan Sei Yan, Izzah hanya diberikan rehat selama dua hari dan akan meneruskan latihan kerana mereka akan membawa cabaran negara dalam Kejohanan Gimnastik Berirama Asia yang akan berlangsung di Arena Axiata, Bandar Sukan Kuala Lumpur dari 29 April hingga 2 Mei ini.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video