Gimnastik artistik: Farah Ann lakar sejarah tersendiri

Penulis Jemputan
Ogos 23, 2018 22:51 MYT
Farah Ann Abdul Hadi mengatasi pencapaian terbaik Tracie Ang dalam sejarah penyertaan Malaysia bagi acara palang bertingkat gimnastik artistik Sukan Asia apabila menduduki tangga kelima, hari ini.
Dalam edisi 2010 di Guangzhou, China, Tracie mengakhiri saingan di tangga kelapan.
Farah memberi tentangan hebat, terutama kepada pencabar-pencabar China dan Jepun, menerusi pungutan 13.200 mata di Pusat Pameran Antarabangsa Jakarta, Kemayoran, sambil melabel prestasinya dalam temasya Jakarta-Palembang lebih baik daripada Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu.
"Untuk mendapat tempat kelima ini, saya berasa bangga.
"Pencapaian ini boleh meningkatkan prestasi sukan ini di Malaysia dan Asia.
"Pencapaian kali ini mungkin dua kali ganda lebih baik daripada di Gold Coast.
"Dalam Sukan Komanwel, saya tidak layak ke final tetapi di sini saya dapat melakukannya.
"Untuk meraih tangga ketujuh (individu all-around) pada hari pertama di sini serta menamatkan saingan di tempat kelima hari ini, prestasi saya jelas meningkat dengan bagus," katanya.
Emas dan perak milik China sementara gangsa diraih Korea Utara.
Sementara itu, seorang lagi atlet negara, Tan Ing Yueh, akan turun beraksi dalam apparatus senaman lantai esok.
;