BERITA SUKAN AM

Gembira bersama, bersedih bersama -- Safee Sali hadir beri sokongan buat Zaquan Adha

Ammar Hakim 12/02/2025 | 04:38 MYT
Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali, hadir memberikan sokongan serta semangat buat sahabatnya, Zaquan Adha Abdul Radzak, yang sedang berduka atas pemergian anak bongsunya, Muhammad Aisy Al Rees.
Zaquan Adha serta keluarga kini berdepan musibah apabila anak bongsunya, Aisy Al Rees, yang meninggal dunia semalam, perkara itu disahkan oleh bekas pemain kebangsaan itu menerusi Instagram.
Seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Safee Sali, cuba memberikan semangat buat kehilangan yang dihadapi Zaquan ketika ini.
Menerusi Instagram story, Safee berkata, "Persaudaraan bukan hanya dalam kegembiraan, tetapi juga dalam ujian. Hari ini, kami berdiri bersaam mendoakan kekuatan dan ketabahan di saat kehilangan ini.
"Salam takziah buat @zaqone-o8 dan keluarga. Al-Fatihah."
Safee turut dihubungi segmen pagi Era, dia berkata, "Keadaannya memang sangat sayu. Zaquan sangat 'down'.
"Saya berada di sana untuk memberikan sokongan moral kepadanya dan mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan.
"Arwah menjalani proses post-mortem semalam. Itu yang agak lambat sikit keluar dari hospital.
"Saya sendiri mendapat berita ini daripada group Astro Arena, dan sebaik sahaja mengetahuinya, saya terus bergegas ke Seremban.
"Setakat yang dimaklumkan, jenazah akan dikebumikan sekitar jam 9 pagi," jelasnya.
Terdahulu, Zaquan berkongsi berita duka mengenai pemergian anak bongsunya itu menerusi hantaran di Instagram Stories pada Selasa.
Sementara itu, Rozita Che Wan, dalam kiriman teks kepada pihak media, memaklumkan bahawa kejadian berlaku sekitar tengah hari Selasa dan difahamkan arwah meninggal dunia ketika tidur.
Untuk info, isteri Zaquan, pelakon Ayu Raudhah, telah selamat melahirkan Muhammad Aisy Al Rees pada 2 Ogos lalu dengan berat 2.3 kilogram.
Zaquan dan Ayu mendirikan rumah tangga pada 21 Januari 2011 dan dikurniakan tujuh cahaya mata, termasuk Allahyarham Muhammad Aisy Al Rees.
Anak-anak mereka yang lain ialah Muhammad Aisy Qaiser (12), Muhammad Aisy Aryann (11), Laura Zuleykha (8), Muhammad Aisy Khaliq (6), Muhammad Aisy Al Jibreel (3) dan seorang lagi anak berusia dua tahun.
Imej: Bernama
#Zaquan Adha Abdul Radzak #Zaquan Adha #Belasungkawa
;