Skip to main content

Hoki

Gagal capai kata sepakat, Dhaarma Raj tinggalkan KHM

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

dhaarma-raj.jpg
Hubungan dingin dengan bekas majikan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), menjadi faktor utama mengapa bekas pengendali berpengalaman, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, memutuskan untuk tidak menghantar permohonan mengisi jawatan skuad wanita kebangsaan.

Sejurus tempohnya mengemudi skuad itu tamat 31 Disember lalu, bekas pemain kebangsaan tersebut dilihat sudah berpatah arang dengan segala apa yang terjadi di antaranya dan badan induk berkenaan biarpun merakamkan prestasi cemerlang.

Namun, jauh di sudut hati jurulatih Terengganu Hockey Team (THT) itu dilihat masih mempunyai jiwa terhadap skuad berkenaan selepas berjaya membimbing mereka memenangi Siri Hoki Dunia di Singapura pada 2018 selain meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Dunia Siri Final Wanita 2019. 

Walaupun mengakui ia bukan satu keputusan yang wajar, namun keadaan memaksanya untuk mengambil keputusan itu. 

"Saya dengan seikhlas hati ingin memohon maaf kepada pasukan wanita bahawa saya tidak dapat meneruskan pengembaraan ini setelah memulakannya. 

"Saya pernah berjanji tidak akan angkat kaki selepas kami mencapai kejayaan besar.

"Saya menitiskan air mata apabila mengetahui bahawa pemain-pemain berjuang (untuk mempertahankan kedudukan saya) ketika bertemu ahli jawatankuasa.

"Saya telah bercakap secara terperinci dengan pemain senior mengenai sebab saya tidak dapat meneruskan (jawatan ini). 

"Saya juga sempat bercakap kepada pembantu saya yang amat dipercayai, Lailin Abu Hassan dan Roslan Jamaluddin, supaya meneruskan pengembaraan dan legasi yang telah dibina ini," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini. 

Buat masa ini, tiada perancangan selanjutnya oleh pengendali berpengalaman itu yang sekadar menggunakan masa yang ada untuk berehat.

"Saya mempunyai banyak pilihan (tawaran). Saya juga mempunyai banyak masa (untuk mempertimbangkannya).

"Saya cuma mahu berehat, mungkin seperti menguruskan hal persekolahan anak-anak atau melakukan apa sahaja tugas yang saya mampu lakukan selepas kempen Liga Hoki Malaysia (LHM) berakhir," katanya.



Editor: Shaiful Shamsudin 

Advertisement

Must Watch Video