FUTSAL
Futsal AFF: Skuad kebangsaan pincang tanpa Ahmad Aqil
Skuad futsal kebangsaan berdepan dugaan demi dugaan untuk menghadapi Kejohanan Futsal AFF 2022 di Thailand yang akan membuka tirai sehari sebelum Ramadan tiba iaitu Sabtu ini.
Terkini, perancangan ketua jurulatih, Chiew Chun Yong, sedikit terencat apabila Ahmad Aqil Khalis Adli Khairuz terpaksa diketepikan akibat kecederaan lutut.
"Malang sekali kerana dia merupakan tonggak kami tapi dilanda kecederaan MCL ketika berlatih.
"Ini kali pertama terpilih untuk skuad kebangsaan tapi kecederaan datang tidak tepat pada masanya.
"Sudah tentu kelibatnya cukup penting buat saya," katanya menjelang perlawanan menentang Kemboja.
Dalam pada itu, Chun Yong mempertaruhkan enam muka baru yang akan beraksi dalam kempen kali ini buat julung kalinya daripada 16 pemain dibawa ke Bangkok.
Berikutan penundaan tarikh berangkat ke sana, Chun Yong mengakui mempunyai tempoh singkat untuk meningkatkan keserasian antara pemain dan penerapan taktikal yang dirancang.
"Persiapan penting khususnya ketika berdepan Thailand dan Indonesia.
"Kedua-dua negara ini adalah seteru utama kami dan sudah pasti kami fokus kepada satu persatu perlawanan.
"Saya tidak boleh desak pemain untuk menyerap segalanya serentak. Saya perlu bentuknya secara berperingkat agar tidak mengelirukan mereka," katanya.
Menurut ketua pasukan, Khairul Effendy, mereka tiada pilihan dengan kekangan masa tetapi dia sedia membantu muka-muka baru agar misi negara tercapai.
"Sudah dua tahun pasukan kebangsaan tidak menyertai sebarang kejohanan. Keserasian memakan masa jadi saya berpesan kepada pemain baru agar tidak boleh segan dan takut.
"Jika mahu kekal mereka perlu berani. Kami sedia berkongsi pengalaman dan keserasian kami juga makin diperkemaskan menerusi latihan," katanya.