Pemain tengah, Fitri Saari, bertekad melayakkan Malaysia ke Sukan Olimpik Paris selepas kembali menyertai skuad hoki kebangsaan.
Kecewa tidak dapat memberi sumbangan dalam Sukan Asia, Fitri percaya kehadirannya dapat membantu pasukan membuktikan kemampuan sebenar dalam Kejohanan Kelayakan Sukan Olimpik di Muscat, Oman, 13 Januari ini.
Pemain tengah berpengalaman itu mengalami kecederaan 'medial collateral ligament (MCL) di lutut ketika berlatih pada September lalu yang menyaksikan namanya terpaksa digugurkan daripada skuad untuk beraksi di Hangzhou, China.
Fitri mula bermain beberapa minit dalam perlawanan persahabatan pertama menentang New Zealand, Ahad lalu, bagi menguji kemampuan sebelum mendapat kebenaran fisioterapi mendapat lebih minit permaianan dalam perlawanan kedua menentang Korea Selatan kelmarin.
"Saya sudah pulih sepenuhnya untuk beraksi tapi jurulatih berpesan agar tidak berikan 100 peratus lagi sebab bimbang dengan kecederaan berulang.
"Pemain tercedera pula tiada masalah untuk mengembalikan kecergasan tahap antarabangsa.
"Saya bertekad untuk curahkan usaha 100 peratus di Oman kelak yang merupakan untuk tiket terakhir untuk layak ke Sukan Olimpik Paris," katanya di perkarangan Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Shaiful Shamsudin
Thu Dec 21 2023