Stadium Astro logo
FIRE CAGE

Fire Cage: Eubert Gomez, Yovaniz Decroz bakal sertai One Championship

article-author-avatar
Hanis Natasya Lizam 12/03/2025 | 10:19 MYT
Article ribbon Fire Cage: Eubert Gomez, Yovaniz Decroz bakal sertai One Championship
Susulan kejayaan Fire Cage Fighting Championship yang berlangsung pada 22 Februari lalu, arena seni bela diri tanah air sekali lagi menerima perkhabaran gembira!
Dua pejuang Fire Cage, Eubert Gomez dan Yovaniz Decroz, telah dipanggil untuk menyertai salah satu kejohanan seni bela diri terbesar dunia, ONE Championship.
Menurut Pengarah Fire Cage, Mohamed Bathih, perkembangan ini membuktikan bahawa kejohanan mereka semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa, terutama daripada entiti besar seperti ONE Championship.
"Ini adalah petanda positif kerana organisasi seperti ONE Championship kini mula menilai bakat dari pentas Fire Cage. Mereka teruja melihat acara kami dan sedang mencari bakat baru. Kami dimaklumkan bahawa Eubert dan Yovaniz bakal berlatih di gim kami di Pertama Kompleks sebelum dijadualkan bertarung dalam kejohanan di Bangkok, sekitar hujung April nanti.
"Maklumat rasmi akan diumumkan dalam masa terdekat, katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
Walaupun kejayaan ini membanggakan, Bathih menegaskan bahawa misi Fire Cage masih belum selesai.
Matlamat utama mereka adalah memastikan lebih ramai petarung tempatan mendapat peluang beraksi di pentas antarabangsa.
"Visi utama kami adalah untuk membawa petarung tempatan ke kejohanan besar seperti ONE Championship dan UFC. Kami sudah berada di landasan yang betul. Selepas acara kedua pada 17 Julai nanti, kami berharap dapat membuka pejabat di luar negara.
"Itulah sasaran terakhir kami untuk membawa atlet Malaysia ke pentas global!" tambah Mohammad Bathih, pengarah Fire Cage Fighting Championship.
#Fire Cage #Decroz #Eubert Gomez, #Yovaniz