PIALA SAS
Final PSAS: Korea Selatan persiap pelan alternatif tanpa Jang Jong-hyun
Jika The Speedy Tigers mempertaruhkan kekuatan sepasukan, lain pula percaturan di kem Korea Selatan yang lebih bergantung harap kepada kualiti penyudah individu.
Lapan gol yang berjaya dihasilkan Korea Selatan dalam perjalanan mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) yang dijulang pada 2019 -- kesemua gol dalam edisi ke-29 ini hanya melibatkan tiga pemain menerusi kepakaran pukulan sudut penalti.
Namun, 24 jam sebelum aksi final di Ipoh malam esok, barisan Korea dikejutkan dengan kecederaan belakang yang melanda Jang Jong-hyun.
Kehilangan bekas pemain import Terengganu Hockey Team (THT) itu memaksa ketua jurulatihnya, Shin Seok-kyo, untuk mengalihkan peranan penting itu ke atas Kim Hyeon-hong dan Jeon Byung-jin.
"Saya akan menagih khidmat Kim Hyeon-hong yang merupakan pakar pukulan sudut penalti muda termasuk sentuhan pemain berumur 27 tahun, Jeon Byung-jin.
"Kami tidak akan bersikap sambil lewa ketika bertemu Malaysia, mereka layak ke final Piala Asia dan merupakan sebuah pasukan mantap.
"Tetapi esok adalah perlawanan yang berbeza, dalam final pemain sedia mengambil risiko kecederaan.
"Kami akan buat persediaan untuk menghadapi taktikal Malaysia selain mengharapkan satu perlawanan yang menghiburkan," kata jurulatih itu dalam persiapan terakhir pasukannya hari ini.
Daripada 26 pertemuan di kedua-dua negara Asia ini, kelebihan jelas milik Korea yang menguasai 50 peratus kemenangan yang menyaksikan Malaysia mengalahkan mereka di peringkat awal Piala Asia tahun ini dengan kemenangan 5-4 sebelum tumbang 1-2 dalam penentuan gelaran.