HOKI

Final Hoki Piala Razak: Kuala Lumpur sedia kecewakan pasukan pilihan Melaka

Shaiful Shamsudin 20/10/2023 | 12:36 MYT
"Melaka pasukan pilihan."
Perang psikologi perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Razak Lelaki telah pun bermula menjelang aksi sebenar d Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, esok dengan pengendali Kuala Lumpur, I Vickneswaran, menyifatkan skuad kendaliannya turun beraksi dalam final selaku 'underdog'.
"Melaka adalah pasukan pilihan memandangkan telah mengalahkan Perak.
"Permainan mereka banyak meningkat walaupun berdepan pemain berpengalaman Perak," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Kenyataan itu tidak seiring dengan statistik serangan yang memihak Kuala Lumpur, di samping memiliki penjaring terbanyak kejohanan, Danial Asyraf Ghani, yang sudah menjaringkan lapan gol.
Sudah tentu Kuala Lumpur turut mempunyai muslihat untuk menjerat Melaka biarpun purata pemain yang dimiliki mereka di bawah 23 tahun.
"Ini adalah final, kami perlu peluang yang ada dan kami mempunyai rencana tersendiri.
"Kami tidak bergantung kepada seorang sahaja untuk menjaringkan gol, yang penting adalah kekuatan pasukan.
"Kami mempunyai saksama dengan Melaka dan perlu mengambil apa sahaja situasi sepanjang permainan", katanya.
#Hoki #Piala Razak
;