Final ATP: Djokovic lebur hasrat Tsitsipas rampas ranking nombor satu dunia
Shaiful Shamsudin
November 15, 2022 11:24 MYT
November 15, 2022 11:24 MYT
Novak Djokovic memulakan kempen Pusingan Akhir ATP dengan kemenangan straight set ke atas Stefanos Tsitsipas di Turin, secara tidak langsung memadam sisa harapan pemain Greece itu untuk menamatkan tahun ini di ranking nombor satu dunia.
Juara lima kali itu muncul sebagai pemenang 6-4, 7-6 (7-4) untuk mendahului Kumpulan Merah selepas mengatasi Andrey Rublev dan pemain Russia itu pula menewaskan rakan senegaranya, Daniil Medvedev.
Tsitsipas perlu memastikan kejuaraan di Turin itu dengan catatan tanpa kalah bagi merampas kedudukan tangga teratas milik Carlos Alcaraz yang tercedera sebelum mendapati impiannya berkecai.
Djokovic melakukan servis hebat dalam set pembukaan apabila tidak membenarkan pilihan kedua itu melakukan 'break'.
Tsitsipas bertindak balas dengan baik dalam set kedua apabila melancarkan tujuh ace dan memenangi 88 peratus mata dalam servis pertamanya, tetapi Djokovic selaku pilihan ketujuh kental beraksi untuk membawa set itu ke tie-break.
Tsitsipas bangkit daripada ketinggalan 1-5 untuk menjadikan kedudukan 4-5 ketika rehat, tetapi Djokovic tetap tidak goyah dengan menghasilkan servis kencang yang sukar dikembalikan lawannya ketika mengintai rekod enam gelaran Final ATP.