Pelumba cilik dari Kuala Lumpur, Qayyim Razin, mencipta sensasi apabila dinobatkan sebagai juara baru kategori 160 pusingan keempat FIM MiniGP Malaysia Series 2024.

Sebagai rekod, Qayyim menduduki tempat pertama dalam perlumbaan pertama dan kedua untuk meraih kejuaraan pusingan berkenaan selepas menjalani latihan yang kerap di litar kegemarannya itu di Beranang.

Airel Marzuki dan Nguyen Viet Tuan dari Vietnam pula menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.

Dalam masa sama, juara dunia 2023, Qabil Irfan, terus cemerlang mendominasi kesemua lapan perlumbaan dalam kategori 190.

Kejuaraan pusingan kali ini sangat bermakna buat pelumba muda negara itu kerana ia merupakan dedikasi buat ibunya, Tuan Zarina, yang sedang menyambut hari kelahiran yang ke-39 tahun.

"Saya bersyukur kepada Tuhan atas rezeki hari ini dan saya mahu berterima kasih kepada Qabil yang tidak pernah berputus asa selain turut meluahkan rasa gembira buat semua yang menyokong kami," kata Tuan Zarina.

Sementara itu, Al-Adam Mikail diangkat sebagai juara berganda dalam kategori SIC Ohvale Junior Championship di Beranang selepas turut memperaga persembahan memukau di Langkawi sebelum ini.

Ketika perlumbaan pertama, Al-Adam mendapat kelebihan meraih kemenangan setelah situasi kibaran bendera merah semasa berbaki lima lap menyaksikan Al-Adam kekal cemerlang mendominasi litar.

Sewaktu perlumbaan kedua, Al-Adam mencatatkan masa 12m 54.003s untuk berada di depan menewaskan Nufayl Darwisy dari Terengganu dan Hairith Fezzrul Iman dari Pahang.

"Litar agak basah dan saya cuba buat yang terbaik selain ini merupakan hadiah buat ibu serta penaja saya," katanya.