PERMOTORAN
FIM MiniGP Malaysia: Qabil Irfan muncul juara, impian ke Valencia menyala
Pelumba cilik negara, Qabil Irfan, dan Nguyen Viet Tuan dari Vietnam menguasai pusingan akhir FIM MiniGP Malaysia Series 2024 di Litar Kart Antarabangsa Sepang, hari ini.
Pelumba dari Terengganu yang bersaing dalam kategori 190 mempamerkan magis tersendiri memutlakkan kemenangan sempurna dalam Perlumbaan 1 dan 2 untuk mengutip maksimum 250 mata untuk menjadi keseluruhan.
"Saya berlatih setiap hari dan ada semangat untuk menang pada tahun ini. Saya telah lakukan sehabis baik sekali lagi pada kali ini untuk pergi ke Valencia. Walaupun saya demam semalam, serta sakit kepala tetapi saya cuba untuk (beraksi) dengan konsisten hari ini," kata Qabil Irfan.
Sementara itu, pelumba dari Vietnam tersebut turut menjadi individu yang paling berkaliber dalam saingan ini apabila deruman enjinnya memuktamadkan posisinya sebagai juara keseluruhan kategori 160, sekali gus mengecewakan pelumba negara, Airel Marzuki, untuk bergelar juara di laman sendiri.
Dalam Perlumbaan 1 dan 2, Airel berputih mata berikutan dipintas pada saat-saat akhir.
"Pada selekoh terakhir tadi saya sudah perhatikan pelumba lain yang mengekori saya, saya fikir jika saya tutup ruang maka kedua-dua pelumba (berisiko) akan jatuh. Jadi saya tidak menutup ruang itu. Ada sentuhan dalam pusingan terakhir dan saya sedikit hilang kawalan. Mungkin rezeki dia menang hari ini." ujar Airel Marzuki.
Seramai lima orang pelumba telah mengesahkan slot kelayakan ke Kejohanan Siri Dunia MiniGP 2024 di Valencia, Sepanyol. iaitu Qabil, Farish Gafiy dan Adam Aiman (kategori 190) sementara Nguyen Viet Tuan dan Airel (kategori 160) untuk memikul tanggungjawab bagi mengharumkan nama negara.