FIM MiniGP Malaysia: Cabaran Qayyim Razin pintas Nguyen Viet Tuan
Shaiful Shamsudin
Oktober 18, 2024 16:32 MYT
Oktober 18, 2024 16:32 MYT
Pengurus FIM MiniGP Malaysia, Zulfahmi Khairuddin, mengakui bahawa cabaran getir bakal dihadapi pelumba kategori 160 negara, Qayyim Razin, untuk mencuri dua slot berikutan kerana persiapan rapi yang dilakukan oleh pelumba Vietnam, Nguyen Viet Tuan, tampak ampuh di Litar Kart Sepang.
"Semestinya saya mahu dua pemain negara beraksi dalam Pusingan Akhir Dunia kategori 160 dan 190.
"Peluang Qayyum untuk mendapatkan kedudukan dua terbaik agak tipis di sini.
"Dalam sesi latihan bebas hari ini, Nguyen tampak mantap termasuk dalam pusingan kedua di sini.
"Saya harap Qayyum berikan saingan yang hebat tetapi untuk bergelar juara atau naib juara di sini tampak tipis.
"Saya bangga dengannnya yang menjuarai FIM MotoGP Indonesia jadi sama ada dia dapat tempat kedua atau tidak di Malaysia, dia tetap akan ke Valencia bersama pasukan Indonesia," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Zulfahmi juga menyatakan bahawa cabaran dalam pusingan kelima FIM MiniGP Malaysia 2024 ini berbeza dengan pusingan sebelumnya memandangkan saingan minggu ini terpaksa diawalkan bermula hari ini.
"Kami sebenarnya berkongsi litar dengan satu lagi acara MAM, iaitu Art Of Speed, Jadi penganjuran kali ini dibuat pada hari ini dan esok.
"Penganjur dan pelumba juga agak kelam-kabut berikutan kemalangan dan perlu menukar enjin.
"Kami tidak bersedia untuk hadapinya tapi Alhamdulillah nampaknya semuanya terkawal. Kakitangan telah melakukan kerja terbaik untuk perbaiki motosikal.
"Tapi apa yang merisaukan saya adalah pelumba hanya mempunyai rehat 40 minit sebelum meneruskan sesi yang seterusnya," katanya.