PERMOTORAN
FIM Mini GP Malaysia Series: Qayim Razin serlahkan tunggangan sensasi di Litar Tangkak
FIM Mini GP Malaysia Series 2024 telah membuka tirai hari ini di Litar Tangkak dan akan berlanjutan hingga esok dengan aksi pelumba sensasi yang sedang meningkat naik seperti Rayqal Al-Hay, Qayim Razin, dan Qabil Irfan.
Ketiga-tiga pelumba ini menunjukkan kualiti tersendiri dengan mencatat masa terpantas dalam ujian masa bagi kategori masing-masing.
Dalam kategori SIC Ohvale Junior Championship, Rayqal Al-Hay dari Selangor mencipta masa terpantas dengan catatan 48.876 saat. Di tempat kedua, Rishi Keishan Kishi, juga dari Selangor, mencatat masa 48.940 saat, manakala Nguyen Minh Tuan dari Vietnam berada di tempat ketiga dengan catatan 48.984 saat.
Iklan
Kategori 160cc menyaksikan Qayim Razin dari Kuala Lumpur mencipta masa terpantas dengan 46.826 saat. Nguyen Viet Tuan dari Vietnam berada di tempat kedua dengan catatan 46.937 saat, diikuti oleh Airel Marzuki dari Terengganu di tempat ketiga dengan catatan 47.027 saat.
Dalam kategori 190cc, Qabil Irfan dari Terengganu, yang juga merupakan juara dunia FIM Mini GP World Series 160cc 2023, mendominasi dengan catatan masa terbaik 43.987 saat, meninggalkan pesaing lain jauh di belakang. Adib Arsyad dari Johor berada di tempat kedua dengan catatan 44.602 saat, manakala Asyraff Zaquan dari Selangor di tempat ketiga dengan catatan 45.059 saat.
Qayim Razin berjaya memperoleh petak utama perlumbaan bagi kategori 160cc esok di Litar Tangkak, Johor.
Must-Watch Video