MOTOGP
FIM Mini GP Malaysia: Pusingan pertama di Litar Tangkak berlangsung sengit
FIM Mini GP Malaysia pusingan pertama di Litar Tangkak telah melabuhkan tirainya dengan penuh aksi mendebarkan hari ini.
Dalam kategori 160cc, Nguyen Viet Tuan dari Vietnam dinobatkan sebagai juara selepas mencatat kemenangan percuma berikutan kesilapan 'jump start' oleh Airel Marzuki, yang dikenakan penalti tambahan masa sebanyak 3 saat.
Sementara itu, Qayyim Razin terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua meskipun bermula di petak pertama dengan catatan masa 12.32.616s.
Iklan
Dalam perlumbaan kedua pula, Airel menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk bangkit semula dan meraih tempat teratas. Meskipun dicabar sengit oleh Qayyim di selekoh ketiga, Airel berjaya mencantas Qayyim di selekoh ketujuh, sekaligus mengesahkan kemenangannya di pusingan terakhir.
Dalam satu temu bual dengan wartawan Astro Arena, Zaki Zainal, Airel meluahkan rasa leganya selepas berjaya menebus kesilapan pada perlumbaan pertama.
"Alhamdulillah, saya berjaya menebus kesilapan saya di perlumbaan pertama tadi," katanya.
Bagi kategori 190cc, Qabil Irfan, juara dunia FIM Mini GP World Series 160cc tahun lalu mencipta kejayaan berganda. Debut pertamanya dalam kategori ini sangat membanggakan, dengan dominasi mutlak yang ditunjukkan melalui perlumbaan berkelas dunia meninggalkan pesaing terdekat dengan kelebihan masa 17.098s pada perlumbaan pertama.
Qabil berharap dapat meneruskan prestasi cemerlangnya untuk mengekalkan kedudukan podium.
"Saya harap saya dapat teruskan kemenangan ini di perlumbaan seterusnya dan berusaha sehabis baik," kata Qabil.
Dalam kategori SIC Ohvale Junior Championship, kejutan berlaku apabila Al-Adam Mikail mencipta sensasi dengan menjadi pelumba terpantas di kedua-dua perlumbaan, memperoleh 50 mata secara keseluruhan.
Pusingan seterusnya dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 1-2 Jun ini. Teruskan sokongan anda kepada pelumba-pelumba kita!
Must-Watch Video