Skip to main content

Permotoran

FIM JuniorGP World Championship: Hakim Danish sedia tawan Litar Jerez

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

hakim.jpg
Pelumba muda negara, Hakim Danish, kembali ke tanah air pada 18 Mei 2025 selepas menempuh jadual perlumbaan dan sesi ujian rasmi yang padat sejak 23 Mac lalu. 

Pelumba berusia 17 tahun itu menyertai Red Bull MotoGP Rookies Cup (1 ujian rasmi, 2 pusingan melibatkan 4 perlumbaan) dan FIM JuniorGP World Championship (3 ujian persendirian, 1 pusingan perlumbaan). 

Usaha dan komitmen tinggi beliau membuahkan hasil apabila berjaya menaiki podium tempat kedua di kesemua perlumbaan yang disertai.

Danish hanya sempat berada di Malaysia selama enam hari sebelum berangkat semula ke Sepanyol pada 27 Mei 2025 untuk membuat persiapan bagi menghadapi Pusingan Kedua FIM JuniorGP World Championship.

Pusingan kedua ini akan berlangsung dari Jumaat hingga Ahad di Circuito de Jerez, Sepanyol, litar sepanjang 4.42km dengan 8 selekoh kanan, 5 selekoh kiri dan laluan lurus sepanjang 607 meter.

Menariknya, litar ini turut menjadi gelanggang bagi Pusingan Pertama Red Bull MotoGP Rookies Cup sebelum ini, di mana Danish berjaya mengekalkan kedudukan tempat kedua dalam kedua-dua perlumbaan. Pengalaman ini tentunya memberi kelebihan buat Danish untuk mencabar podium sekali lagi minggu ini.

Turut serta bersama Hakim di Sepanyol ialah Pengurus Pasukan SIC Racing-MSI, Zulfahmi Khairuddin, yang berlepas dari Malaysia pada Selasa, 27 Mei 2025. 

Kehadiran Zulfahmi dijangka memberi suntikan semangat serta menjadi penghubung utama antara pasukan dan pelumba bagi memastikan segala urusan berjalan lancar demi prestasi terbaik.

Untuk pusingan ini, dua perlumbaan akan berlangsung pada hari Ahad dan akan disiarkan secara langsung menerusi platform YouTube dan Facebook rasmi kejohanan.

"Minggu ini merupakan pusingan FIM JuniorGP di Litar Jerez. Tahun lalu, Danish menamatkan perlumbaan di tempat ke-8. 

"Namun untuk pusingan kali ini, Danish dan pasukan telah membuat persiapan awal termasuk Private Test sebelum beliau pulang ke Malaysia. 

"Harapan kami adalah untuk mencapai penamat podium minggu ini. Sudah tentu tumpuan juga akan diberikan kepada Brian Uriarte, agar kami dapat mengikuti rentaknya dan mencari peluang untuk memintas Brian." kata pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin.

Advertisement

Must Watch Video