PETANQUE
Filipina, Myanmar tagih khidmat Zani
Sukan petanque negara menerima tamparan hebat apabila ketua jurulatih, Zani Lisa Mohamed, tidak lagi berminat meneruskan khidmat dan beliau kini dalam pertimbangan meneliti tawaran dari dua negara serantau, Filipina dan Myanmar.
Kontrak Zani baru sahaja berakhir penghujung Ogos lalu tetapi beliau sebenarnya sudah membuat keputusan lebih awal untuk beralih angin.
Setelah menabur bakti sejak 2013, Zani melihat ini detik paling tepat untuk mencari pengalaman di luar negara setelah tiga kali membimbing pasukan negara dalam Sukan SEA.
Iklan
Biarpun masih segar dengan kejayaan meraih dua pingat emas, iaitu pencapaian terbaik negara sepanjang sejarah Sukan SEA, Zani memegang pada pendirian tersendiri.
"Myanmar dan Filipina berminat mendapatkan khidmat saya. Tawaran yang telah diberikan menarik minat saya. Jika tiada aral yang melintang, saya akan memulakan tugas awal tahun hadapan," kata Zani.
Walaupun begitu, Zani tidak menafikan sedia kembali kepada pasukan petanque negara pada masa akan datang sekiranya pencapaian sekarang gagal dipertahankan.
"Buat masa ini, saya akan meninggalkan dahulu skuad Malaysia untuk saya meraih pengalaman baru. Tidak mustahil pada masa akan datang, saya akan kembali semula berkhidmat untuk negara."
Must-Watch Video