Muhammad Naquib Azlan dari Axle Sports terus mencuri tumpuan dalam saingan akhir Festival Toyota Gazoo Racing musim ketujuh yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.
Dalam perlumbaan pertama, Naquib Azlan berjaya menempatkan diri di tempat ketiga, namun ia tetap berhasil melebarkan jurang perbezaan lima mata dengan pesaing terdekat, Mitchell Cheah.
"Terlalu awal untuk cakap. Saya fikir hari ini kami melakukan yang terbaik.
"Permulaan yang sempurna selain mencatatkan masa yang cukup, cuma kenderaan di depan lebih laju.
"Keputusan yang bagus untuk satu pasukan dan mempunyai peluang yang cerah pada esok," katanya di Nadi Weekend.
Dengan kedudukan terkini, Naquib berada di ambang kejuaraan secara keseluruhan dan berpeluang melengkapkan hatrik secara peribadi selain perlumbaan kedua di jangka menjadi penentu bagi gelaran musim ini buat pelumba muda tersebut,
"Setiap perlumbaan yang saya sertai, saya sentiasa meletakkan tekanan ke atas diri sendiri untuk memastikan saya menghasilkan keputusan yang cemerlang.
"Saya hanya mahu memandu dengan selamat dan bersih dan mencuba sehabis baik.
"Yang lain saya serahkan kepada rezeki, Insya-Allah," tambahnya.
Najmi Iman
Sat Jan 04 2025