Skip to main content

Tenis

Federer terkejut dengan kejayaan sepanjang 2017

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

federer-090717.jpg
Kejayaan Roger Federer menjuarai Wimbledon semalam mungkin mengesahkannya selaku pemain terhebat sepanjang zaman tetapi pemain berusia 35 tahun itu sendiri mendakwa rentetan kejayaannya pada 2017 sebagai mengejutkan.

Federer telah membuat pilihan keutamaannya terhadap kejohanan utama tahun ini selepas bergelut dengan kecederaan lutut pada 2016 dan kini mengaut ganjarannya.

Semalam menyaksikan dia mencipta rekod dengan kejuaraan perseorangan Wimbledon kelapannya dengan mengalahkan Marin Cilic dalam straight set 6-3, 6-1, 6-4,  dengan mengesahkan kejuaraan utama ke-19 buatnya dan yang kedua tahun ini sesudah menjuarai Terbuka Australia.

Di antara kejayaannya itu, Federer secara strategik memilih untuk tidak menyertai sebarang pertandingan di permukaan tanah liat musim ini.

Dalam pada itu, bintang tenis Switzerland itu mendakwa dia tidak menjangkakan untuk menikmati sedemikian banyak kejayaan.

“Sejujurnya, saya amat terkejut dengan betapa baiknya tahun ini dan betapa baiknya saya rasakan,” katanya dalam sidang akhbar.

"Begitu juga betapa baiknya perkembangan saya di atas gelanggang, bagaimana saya menangani situasi sukar, di mana tahap permainan saya diukur secara harian. Saya terkejut ia sebaik ini.

“Saya tahu saya boleh melakukan sesuatu yang hebat pada suatu hari tapi bukan di tahap ini. Saya fikir anda juga akan ketawa jika saya katakan saya akan akan memenangi dua gelaran grand slam tahun ini.

“Orang tidak akan mempercayai saya jika saya katakan itu. Saya juga tidak percaya saya akan memenangi dua gelaran utama tahun ini.

"Ya, ia memang menakjubkan. Saya tidak tahu berapa lama lagi ia akan berlanjutan, saya tidak punya sebarang idea.

“Tapi saya harus sentiasa mengingatkan diri saya sendiri bahawa kesihatan adalah keutamaan pada peringkat ini. Jika saya lakukan itu, barangkali ada perkara yang mampu dilakukan yang saya tidak fikir mampu sebelum ini.”

Untuk menjadi pemain lelaki pertama menjulang lapan kejuaraan perseorangan Wimbledon adalah sesuatu yang turut tidak dijangkakan Federer.

“Saya berharap untuk berpeluang bermain dalam final Wimbledon suatu hari dan berpeluang untuk memenangi kejohanan ini.

“Untuk memenanginya lapan kali, pada pendapat saya, bukanlah sesuatu yang anda harus sasarkan.”

“Ia sangat istimewa. Wimbledon sentiasa adalah kejohanan kegemaran saya dan akan kekal sedemikian.”

Advertisement

Must Watch Video