OLAHRAGA

Fatimah, Komalam bebas pilih haluan sendiri

Penulis Jemputan 12/09/2017 | 12:03 MYT
"Mereka bebas pilih haluan masing-masing," itu komen Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, ketika mengulas tindakan pelari pecut negara, Siti Fatimah Mohamad dan S. Komalam Shally, yang 'angkat kaki' meninggalkan skuad olahraga kebangsaan.
Nadi Arena semalam melaporkan Fatimah mengikut jejak Komalam untuk meninggalkan jurulatih, M. Balamurugan, kerana menganggap program latihan pengendali itu tidak sesuai walaupun skuad olahraga cemerlang dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, bulan lalu.
Fatimah yang dibimbing Balamurugan sejak 2015 berasakan program latihannya tidak cukup untuk membantunya berlari lebih pantas.
Bagaikan satu tamparan buat KOM, Karim bagaimanapun enggan mengambil peduli keputusan kedua-dua atlet itu.
"Progran Kita Juara sudah tamat. Mereka boleh berlatih di mana-mana mengikut kesukaan mereka. Yang penting, mereka melepasi had kelayakan yang ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan KOM.
"Selain daripada itu, kita tidak mahu membuat apa-apa syarat buat dua atlet itu. Mereka boleh buat apa sahaja," kata Karim.
Tindakan itu menyaksikan Fatimah dan Komalam terpaksa berlatih bersendirian tanpa jurulatih di Majlis Sukan Negara (MSN).
Mengulas lanjut mengenai peluang kedua-dua atlet itu untuk mewakili negara dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan, ini reaksi Karim: "Ini termasuk daripada segi disiplin dan komitmen latihan.
"Kami tidak mahu atlet mengambil mudah. Bagi saya, kalau diiikutkan, kami mahu memberi peluang kepada atlet muda."
Fatimah merupakan jaguh pecut wanita yang mampu mempamer aksi mantap dalam acara 100m, 200m dan juga 4x100m.
Malah, gandingannya bersama Komalam berjaya memecah rekod kebangsaan dalam acara 4x100m menerusi catatan 45.15s yang dicipta dalam Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Thailand pada Jun lalu.
#Sukan Komanwel #Olahraga #Sukan Asia #S. Komalam Shally #4x100m #Siti Fatimah Mohamad
;