SUKAN LAIN
Farkhan pasang impian bertinju di peringkat benua
Peninju profesional negara, Mohd Farkhan Haron, melebarkan rekod kepada 10 kemenangan apabila menewaskan jaguh Indonesia, Alexander Bajawa, menerusi 'knockout' untuk merangkul tali pinggang Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia kategori cruiserweight di Pattaya, Thailand, semalam.
Farkhan menumbangkan lawannya itu dengan tumbukan padu dalam pusingan ketiga untuk merangkul tali pinggang keempat sejak menyertai arena profesional pada 2016.
Malah, peninju berusia 31 tahun itu melebarkan rekod 10 kemenangan -- kesemuanya dengan 'knockout'.
"Kejuaraan ini sangat bermakna kerana saya muncul peninju pertama negara yang memenangi kejuaraan WBC kategori cruiserweight dan saya bangga menjadi sebahagian daripada sejarah.
"Kemenangan ini bukan selama-lamanya, saya bertekad untuk lebih bersungguh-sungguh pada masa akan datang kerana sasaran saya adalah untuk beraksi di peringkat benua.
"Ini salah satu kemenangan manis saya sepanjang bergelar peninju negara," ujarnya.
Farkhan dijangka mengadakan sidang media di ibu kota, esok, untuk mengumumkan perancangan pertarungan berikutnya, bulan depan.