Skip to main content

Sukan Lain

Farkhan Haron: Impian sekumpulan anak muda Johor Bahru

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

farkhan-haron_2.jpg
Saya seakan tidak percaya apabila pemenang pingat emas tinju Sukan Sea 2009, Muhammad Farkhan Haron mahu meninggalkan skuad kebangsaan.

“Please bantu, aku nak jadi pro boxer”.

Impian itu sekitar 2014, ketika arena tinju profesional belum berkembang di Malaysia.

“Boleh. Tetapi dengan 1 syarat. Buat sampai jadi, jangan separuh jalan,” kataku kepada Farkhan.

Kemudian, sekumpulan anak muda – terdiri daripada adik-beradik, saudara-mara, rakan-rakan Farkhan membulatkan tekad untuk membantu. Maka tertubuhlah FH Promotion sebagai jantung gerakan karier tinju profesional Farkhan.

Bermula dengan pertarungan pertama menentang peninju Indonesia, Henry Aritonang pada 2015 diikuti pesta di Singapura selepas menumbangkan Elly Pangaribuan (Indonesia) – mereka mula mencipta nama.

Lima tali pinggang berjaya diraih dalam laluan menewaskan 12 peninju dengan kali terakhir jaguh Iran, Yousof Manvandi pada 2022.

Dalam tempoh 2015-2022, pelbagai cabaran diharungi bersama termasuk kehilangan bapa diikuti ibu Farkhan hingga merentap semangat anak muda ini.

“Aku nak bersara. Jadi, akan ada 1 lagi pertarungan terakhir sebelum gantung glove,” kata Farkhan pada 2023.

Pertarungan terakhir dijadualkan menentang peninju muda India, Jaskaran Singh yang memiliki saiz tubuh yang besar dan tinggi.

Sidang media kejohanan: “Mungkin saiz dia lebih besar tapi saya tidak takut. Saya akan makan sedap, minum air berkhasiat dan tambah berat badan 10kg lagi. Mungkin dia yang akan KO,” kata Farkhan sambil disambut sorakan sekumpulan pemuda Johor Bahru.

Selepas 19 tahun mengikuti karier Farkhan, dia kini paling tenang – bersedia menghadapi apa jua yang akan berlaku dalam 10 pusingan merebut tali pinggang WBC Asia Bridgerweight di Arena Larkin, Johor Bahru, Ahad ini.

Walau apapun keputusannya, saya akan tetap ada dibelakang sekumpulan pemuda Johor Bahru yang membuka lembaran baru tinju profesional di Malaysia.

Advertisement

Must Watch Video