Stadium Astro logo
HOKI

Faridzul tekad kembali wakili skuad hoki negara

article-author-avatar
15/01/2017 | 21:06 MYT
Article ribbon Faridzul tekad kembali wakili skuad hoki negara

Penyerang Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Faridzul Afiq Mohd, yang meledak gol tunggal ketika menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam Liga Hoki Malaysia (LHM), menyuarakan hasrat kembali ke pangkuan skuad pembangunan negara selepas digugurkan tahun lalu.

Faridzul mencipta kejutan apabila meledak gol cantik hasil pukulan kuat ke arah gawang TNB.
Lebih menarik, penyerang berusia 25 tahun ini berjaya memecah kebuntuan rakan sepasukan yang bergelut sepanjang permainan untuk menewaskan S. Kumar yang juga penjaga gol kebangsaan.
Ia gol sulung Faridzul musim ini, sekaligus membantu UniKL merampas takhta liga.
"Saya cuba bangkit untuk meningkatkan permainan saya agar nama saya disenaraikan kembali dalam skuad kebangsaan.
"Saya akan terus menjaringkan gol untuk kembali mewakili skuad negara," jelas Faridzul.
Dalam aksi di Stadium Hoki Kuala Lumpur, kelibat penjaga gol kedua-dua pasukan paling mencuri tumpuan.
TNB harus mengucapkan terima kasih kepada Kumar apabila menggagalkan deretan peluang keemasan UniKL.
Begitu juga dengan penjaga gol UniKL, Santiago Tomas Matias, yang turut bertindak cemerlang menggagalkan asakan TNB.
Penjaga gol kebangsaan Argentina ini masih belum bolos selepas dua perlawanan, sekaligus dia kini menjadi faktor utama UniKL berjaya meraih dua kemenangan berturut-turut.
"Ini adalah hadiah buat kami sebagai satu pasukan kerana semua pemain bertahan dengan baik.
"Untuk saya, bukan mudah untuk berada di sini kerana saya datang dari Argentina," ujar Matias.
Sementara itu, S. Kumar, mengakui pasukannya kurang bernasib baik di hadapan gawang lawan.
"Sebagai pasukan, semua bermain dengan baik, cuma kami tidak bernasib baik kerana kami mendapat peluang banyak di babak pertama tetapi gagal dijaringkan," ulasnya.