GIMNASTIK

Farah Ann kembali ke dunia gimnastik sebagai juri antarabangsa

Najmi Iman 05/02/2025 | 09:51 MYT
Setelah tiga tahun mengumumkan persaraan sebagai gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi, kini kembali menyumbang bakti ke dunia gimnastik sebagai juri di peringkat antarabangsa.
Bekas atlet berusia 31 tahun itu berjaya memperoleh lesen penjurian yang diiktiraf oleh Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (GIF).
Farah Ann bersama Tan Ing, telah berjaya menamatkan kursus penjurian dan memperoleh lesen juri antarabangsa di Doha, Qatar, yang berlangsung dari 26 hingga 29 Januari lalu.
Sebagai pemenang pingat emas Sukan SEA 2019, Farah Ann menganggap kursus tersebut sebagai satu peluang terbaik untuk memperluaskan pengetahuan daripada pakar-pakar terkemuka dalam bidang gimnastik.
"Saya sangat teruja untuk membantu dan berkongsi ilmu bersama para atlet gimnastik di Malaysia," kata Farah Ann.
Dengan pengalaman selama 25 tahun dalam sukan ini, Farah mencatatkan pencapaian terbaiknya apabila beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Sementara itu, Ing Yueh pula mengakui bahawa kursus tersebut memberikan pengalaman yang amat berharga dakam memahami perspektif seorang juri.
"Ia akan membantu memperbaiki teknik latihan dan meningkatkan prestasi atlet-atlet yang berada di bawah bimbingan saya", katanya.
#Farah Ann Abdul Hadi #Gimnastik