F1

F1: Norris terpantas dalam sesi latihan di GP China

King Hisyam 21/03/2025 | 06:22 MYT
Pemandu McLaren Mercedes, Lando Norris, memberikan bayangan akan terus mendominasi pusingan perlumbaan seterusnya di Grand Prix China apabila dia melakarkan catatan masa terpantas dalam sesi latihan hari ini.
Pada sesi itu, Norris melakukan catatan masa 1 minit 31.504 saat dalam pusingan ke-23 sekali gus mengatasi catatan Charles Leclerc yang memandu jentera Ferrari yang melakukan masa kedua terpantas dengan 1 minit 31.958 saat.
Seorang lagi pemandu McLaren Mercedes, Oscar Piastri, turut melakarkan catatan terbaik selepas melakukan pecutan sepusingan dengan 1 minit 32.153 saat di belakang Leclerc.
Semua pelumba akan merebut petak hadapan dalam sesi pusingan kelayakan yang bakal berlangsung pada Sabtu sebelum perlumbaan sebenar pada Ahad.
#F1 #Lando Norris #Mclaren Mercedes