Grand Prix Australia akan kekal di Merbourne sehingga 2035 selepas Formula 1 (F1) bersetuju untuk memanjangkan kontrak di litar berkenaan yang sepatutnya tamat pada 2025.

Dengan itu, saingan Formula 2 dan Formula 3 juga akan kembali ke litar berkenaan buat kali pertama pada 2023.

Perlumbaan F1 kembali ke Melbourne pada Arpil lalu selepas dua tahun tidak diadakan di sana berikutan pandemik COVID-19.

Dengan penonton kembali membanjiri venue itu dengan rekod baru tahun ini -- kehadiran 419,000 penonton merupakan rekod tertinggi bagi satu acara sukan pada hujung minggu di Australia -- Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali, meluahkan kegembiraannya selepas perlumbaan di ALbert Park itu akan dikekalkan untuk tempoh yang panjang.

"Saya dengan sukacitanya mengesahkan bahawa Melbourne dan Litar Albert Park akan terus berada dalam kalendar Formula 1 sehingga 2035.

"Perlumbaan ini sentiasa digemari penonton, pemandu dan pasukan dan Melbourne merupakan bandar antarabangsa yang hebat dan aman, di mana ia pasangan yang sempurna untuk sukan ini.

"Tahun ini, kami dapat melihat kedatangan penonton yang ramai dan bersemangat di Grand Prix ini dan kami amat teruja dengan masa depan sukan ini untuk terus berkembang di Australia," kata Domenicali.