SUKAN SEA
Eyin antara atlet buat kejutan dalam Sukan SEA 2013
Tiada sebarang sandaran emas, Phoon Eyin mengejutkan ramai pihak apabila menyumbang emas ke-1,000 negara dalam Sukan SEA di Naypyidaw, Myanmar pada 2013.
Walaupun ketika itu dia hanyalah atlet pelapis, Eyin berjaya menepati sasaran emas ke-1000 yang hadir daripada sukan wushu selepas kegagalan atlet senior, Diana Bong dan Huo Mun Hua.
Siapa sangka, atlet yang belum diberikan kepercayaan penuh ini mengejutkan kontinjen Malaysia di Myanmar, dengan kejayaan menyumbang emas ketiga wushu bagi acara jianshu dan ke-1,000 dalam sejarah Sukan SEA.
Iklan
Eyin, gadis manis kelahiran Seremban, Negeri Sembilan, berjaya membuatkan Stadium Wunna Theikdi bergema dengan lagu Negaraku buat kali ketiga bagi sukan wushu.
Walaupun bukan pilihan untuk menghadiahkan sebarang pingat emas, kejayaan Eyin lebih bermakna apabila ia emas pertama dalam penampilan sulungnya dalam temasya itu.
Ketika dia hanya mahu menimba pengalaman dalam kemunculan kali pertamanya dalam Sukan SEA, pengalaman yang ditimba Eyin melebihi daripada apa yang dijangkakan.
Gadis pemalu yang ketika itu baru sahaja menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengakui dia sendiri teruja dengan kemampuan yang berjaya dibuktikannya dengan mengalahkan peserta pilihan dari Vietnam dan Indonesia.
Turun sebagai peserta utama bagi acara jianshu, pungutan 9.67 mata merupakan catatan tertinggi buat Malaysia dalam acara terakhir wushu di Stadium Wunna Teikdi.
"Saya rasa sangat teruja kerana sebelum itu saya tidak menyasarkan sebarang pingat dalam Sukan SEA pertama saya itu.
"Saya hanya cuba yang terbaik setiap kali saya melakukan persembahan. Apabila mendapat pingat, saya sangat gembira," katanya.
Sementara itu, penampilan kali terakhir jaguh bina badan negara dalam Sukan SEA, Sazali Samad, sebagai pembawa jalur gemilang di Myanmar juga antara yang cukup manis untuk dikenang.
Sazali yang merupakan atlet bertaraf dunia, dengan sembilan gelaran juara Mr. Universe, tidak kekok diberi tugasan pembawa bendera negara, malah dia sendiri menyatakan kesediaannya memandangkan dia sendiri belum pasti selama mana khidmatnya masih diperlukan negara ketika itu.
"Penampilan dalam Sukan SEA pada 2013, saya tidak sangka dilantik sebagai pembawa bendera. Ia bukan senang.
"Walaupun saya tidak menang tetapi bangga dapat membawa bendera untuk seluruh rakyat Malaysia. Itulah kenangan paling manis," katanya.
Must-Watch Video