PERMOTORAN
ESBK Talent Cup: Kejayaan Qabil Irfan takluk Litar Jerez jadi penanda aras buat pelumba negara



Pencapaian cemerlang pelumba cilik negara, Qabil Irfan, selepas menghuni gelaran juara dalam kedua-dua perlumbaan Espana Superbike Championship (ESBK) jelas meletakkan penanda aras yang tinggi buat pelumba negara lain.
Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin, mengakui pada awalnya sasaran diletakkan untuk pelumba itu hanya sekadar menempatkan diri dalam kedudukan podium, tetapi persembahan yang dipamerkan berjaya menjangkaui sasaran.
"Secara keseluruhan memang minggu yang baik, saya tidak jangka Qabil pamerkan prestasi hebat kerana dia berlumba dengan jaguh daripada Sepanyol.
"Di sini banyak pelumba hebat, asas sukan permotoran dua roda di sini lebih kuat daripada Malaysia. Saya gembira dia meletakkan penanda aras yang tinggi buat pelumba-pelumba Malaysia yang lain," katanya.
Bekas pelumba Moto2 negara itu turut tidak dinafikan lonjakkan prestasi yang dipamerkan berjaya menjadikan kedudukan Qabil sebagai pelumba Malaysia yang digeruni pesaing lain terutamanya dari negara Eropah.
Begitupun, dia tidak menolak kemungkinan pusingan kedua akan menyajikan saingan yang lebih sengit kerana mengambil kira lebih ramai pelumba negara lain yang perlu diberikan perhatian dengan kemampuan mereka untuk menggugat kedudukan Qabil.
"Saya rasa perlumbaan akan menjadi lebih menarik kerana dalam pusingan kedua kerana ramai pelumba akan memperbaiki diri mereka. Perlumbaan 1 dan 2 nanti lebih banyak saingan buat Qabil dan Izan Rodriguez." tambahnya.
Untuk rekod Qabil kini mengetuai carta kedudukkan secara keseluruhan selepas meraih pungutan 50 mata, dengan dia diekori rapat pelumba dari Sepanyol iaitu Izan Rodriguez di tempat kedua dengan hanya perbezaan jurang 10 mata.