ANGKAT BERAT

Erry tiup semangat mahu kembali harumkan nama Hidayat

Najmi Iman 13/02/2025 | 11:11 MYT
Atlet angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat, bagaikan hilang daripada radar ekoran beberapa faktor antaranya siri kecederaan yang berulang.
Kejatuhan prestasi pasca Sukan Komanwel Birmingham 2022 menyaksikan dirinya melalui jalan berliku demi mencapai objektif utama.
Erry yang merupakan anak legenda angkat berat, Hidayat Hamidon, mengakui masih jauh daripada bayang-bayang dirinya yang pernah mencipta rekod kebangsaan iaitu 143 kilogram (kg) snatch dan 173 kg clean and jerk ketika Sukan SEA Hanoi, tiga tahun lalu.
Begitupun, kisah jatuh bangun atlet berusia 26 tahun itu dijadikan sebagai pengajaran demi mengotakan janji kepada ayahnya untuk kembali menjulang nama keluarga.
"Saya sudah melakukan persiapan untuk Sukan Komanwel Glasgow 2026.
"Saya cuba untuk mengurangkan berat badan mengikuti peraturan yang ditetapkan oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) untuk kategori baru.
"Sukar untuk mengekalkan rekod dan saya juga sudah diberi amaran. Jadi saya harus membuat yang terbaik," katanya.
#Angkat berat #Erry Hidayat #Sukan Komanwel Glasgow 2026
;