Skip to main content

Sukan Lain

Emma Firyana bakal kembali ke Program Podium

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

pmbl.jpg
Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz, menyatakan hasrat untuk berunding agar nama pemain berpengalaman, Emma Firyana Saroji, dikembalikan ke dalam Program Podium.

Keputusan itu dipertimbangkan susulan prestasi luar biasa Emma yang berjaya meraih pingat gangsa di Kejohanan Boling Padang Dunia Dalam Dewan 2025 di Scotland, meskipun beliau kini berusia 38 tahun.

“Sebenarnya Emma masih belum masuk podium. Berdasarkan prestasi baik yang dia capai di peringkat Boling Padang Dunia Dalam Dewan 2025 di Scotland kita akan mencadangkan namanya ke dalam podium.

“Kerana apa? Podium ini kita dapat enam lelaki, enam wanita. Kita sengaja kemukakan enam lelaki, lima wanita. Satu tempat lagi untuk wanita kita tengok pencapaian Emma di Scotland sebab Farah sudah selesai dan dia ada dalam podium.

“Jadi kerana Emma kembali dengan pingat gangsa. Kita akan mencadangkan ke Majlis Sukan Negara (MSN)untuk masukkan Emma ke dalam podium semula," katanya.

Datuk Awalan ditemui selepas merasmikan pelancaran kolaborasi antara Restoran La Casa Leal dan Affin Cards Golf Challenge 2025 yang berlangsung di Shah Alam.

Dalam majlis sama, Pengarah Eksekutif Kumpulan Komuniti Affin Bank, Fairuz Radi, menjelaskan kolaborasi ini membuka peluang lebih luas dalam mempromosikan restoran La Casa Leal. Restoran ini bukan sahaja menawarkan hidangan berkualiti, malah menyediakan pengalaman unik kepada pelanggan dengan kemudahan “golf simulator” di dalam premis tersebut.

Kolaborasi itu dilihat mampu merancakkan lagi industri makanan dan gaya hidup, sambil menyokong inisiatif sukan tempatan.

“Hari ini kita ada dua fokus untuk program kita hari ini. Pertama sekali adalah kolaborasi kita dengan La Casa Leal di mana ini adalah gabungan antara “golf simulator” dan restoran, katanya kepada wartawan Astro Arena Faizal Bazari.

“Saya fikir ini adalah salah satu usaha terbaik untuk promosi sukan, tempat bersosial bersama keluarga dan kerjasama ini adalah usaha bersama-sama La Casa Leal.

“Untuk kita ianya adalah perbelanjaan yang minimum dengan menggunakan kredit kad kami dari Affin Bank. Pemegang kad kredit itu akan mendapat empat jam penggunaan percuma “golf simulator” dan ruangan makan, itu adalah satu dari bahagian usaha sama ini.

“Kedua, apabila mereka menggunakan kredit kad Affin Bank mereka akan dapat 15% diskaun untuk pembelian makanan dan minuman di sini". tambahnya.
 

Advertisement

Must Watch Video