BOLING PADANG

Emas tunggal jadi penyelamat kem boling padang negara

Penulis Jemputan 17/04/2018 | 05:17 MYT
Emas tunggal menerusi Siti Zalina Ahmad dan Emma Firyana Saroji dalam acara berpasangan wanita menjadi penyelamat maruah kontinjen boling padang negara yang hampir menamatkan Sukan Komanwel Gold Coast dengan rekod terburuk sejak penyertaan kali pertama dalam temasya Kuala Lumpur 1998.
Sebenarnya, tiada harapan tinggi disandarkan kepada Siti Zalina dan Emma dalam acara itu kerana jurulatih, Simon Botha, meramalkan emas mampu hadir melalui skuad berpasangan lelaki atau berpasukan wanita.
Bagaimanapun, Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) harus mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana emas itu juga dilihat sebagai talian hayat buat boling padang jika ingin terus dikekalkan dalam Program Podium.
Tambah mengujakan, mereka bukan sahaja digandingkan buat kali pertama tetapi ini juga penampilan sulung negara di pentas akhir acara berpasangan wanita.
"Alhamdulillah, syukur sangat. Dengan penantian ini, ia adalah penyelamat terutama kepada atlet kita dan kepada keseluruhan ahli persatuan kami. Ia penyelamat kami dalam Podium," kata Timbalan Presiden PLBM, Datin Seri Engku Noor Hazah Tengku Abdul Aziz.
"Kalau mahu kira berbaloi ataupun tidak, saya rasa ia tidak perlu ulas sebab apabila saya dalam sukan ini, memberi komitmen seperti ini, seharusnya saya berikan yang terbaik. Saya akan berikan sebaik mungkin kalau saya diberikan tugas.
"Bukan semua dapat melakukan sesuatu yang besar seperti ini. Saya bernasib baik dan syukur sangat, " kata Siti Zalina.
Mengungkap prestasi keseluruhan atlet lain, sememangnya ia coretan menghampakan walaupun tujuh daripada lapan acara disertai melangkah ke suku akhir kecuali trio lelaki tersadai di peringkat kumpulan.
Ketika Siti Zalina dan Emma sahaja melangkah jauh, enam daripada mereka terkandas dalam suku akhir, dengan kekalahan berpasukan lelaki dan wanita serta trio wanita sukar ditelan ekoran faktor nasib tidak menyebelahi mereka apabila tewas tipis pada end terakhir.
Apa yang pasti, Scotland menjadi tembok besar skuad boling padang negara kerana kekalahan empat daripada enam wakil kita dalam suku akhir semuanya di tangan mereka.
"Dalam suku akhir pasukan lelaki, kita tewas dengan dua lontaran, pasukan wanita tewas dengan satu lontaran menentang Australia. Perbezaan itu sangat kecil dan siapa sangka," kata Botha.
Bagaimanapun, satu emas di Gold Coast tidak boleh membuatkan PLBM sudah boleh tidur lena, sebaliknya perlu mengkaji mengapa atlet lelaki negara masih belum mampu menyumbang emas sejak penyertaan dalam enam temasya lalu.
Pencapaian terbaik skuad boling padang adalah dalam edisi 2006 di Melbourne dengan dua emas.
;