Skip to main content

Sukan Lain

Emas Sukan SEA belum jamin atlet sertai Program Podium

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

7917timnewenham.jpg
Pengarah Program Podium, Tim Newenham, menegaskan pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 tidak dijamin akan diserapkan ke dalam Program Podium. 

Ramai atlet yang merangkul pingat emas di pentas itu mahu segera menyertai program berkenaan. 

Bagaimanapun, ia masih lagi tidak menjamin kelayakan mereka kerana pencapaian dalam Sukan SEA sahaja masih belum mencukupi.

Jelasnya, kriteria yang perlu dititikberatkan adalah mereka perlu membuktikan kemampuan untuk meraih pencapaian positif dalam Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun depan.

"Seperti semua orang tahu, kami membuat penilaian selepas Sukan SEA. Memenangi emas dalam Sukan SEA tidak menjamin atlet untuk menempatkan diri dalam Program Podium.

"Ia kerana kita perlu merujuk kepada tahap dalam Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik. Bagaimanapun, kalau mereka tidak memperoleh emas pun, kami tidak semestinya menggugurkan mereka," katanya.

Newenham tidak menolak akan ada penambahan atlet baru yang diserapkan ke dalam program itu, terutama daripada sukan olahraga.

Katanya, pencapaian seseorang atlet tidak boleh sekadar di tahap yang selesa, malah perlu ditingkatkan lagi sebelum pertimbangan teliti dibuat untuk memutuskan atlet mana yang akan diserap.

"Ia (Program Podium) bukannya tempat untuk atlet berasa selesa. Ini adalah tempat di mana atlet perlu terus berusaha keras, terus mendapatkan keputusan yang baik dan anda berdiri di atas podium.

"Atlet tidak boleh selesa kerana dunia berubah dan semua atlet berkembang maju," tambahnya.

Khairul Hafiz Jantan (acara pecut), Hakimi Ismail (lompat kijang), Jackie Wong (baling tukul besi) dan Grace Wong (baling tukul besi) merupakan antara atlet yang telah membuat permohonan untuk menyertai program tersebut.

Advertisement

Must Watch Video