Ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) Thunder, Rashidi Nordin, tidak mahu anak buahnya terlalu memikirkan soal kejuaraan, sebaliknya perlu lebih santai untuk menghadapi pusingan kedua Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) yang bersambung di Kota Bharu.

Ketekalan bakal menjadi penentu nasib KL Thunder sama ada mampu mempertahankan kejuaraan yang diraih musim lalu atau sebaliknya.

"Saya belum berpuas hati lagi, masih banyak yang perlu diperbaiki.

"Saya mengingatkan kepada pemain supaya tidak mengulangi kesilapan untuk baki perlawanan ini. Kami menyasarkan tiga tempat teratas, kalau menjadi juara satu bonus.

"Kalau kami menang kesemua baki perlawanan, kami akan dapat kedudukan terbaik dalam terbaik," katanya.






Mereka yang berada di tangga kedua STL selepas tujuh kemenangan bakal berhitung dengan Kelantan Warriors Jumaat ini disusuli Johor Tigris, keesokkannya.

Lantas, Rashidi sedar pemainnya mempersiapkan mental pemainnya agar tidak tenggelam ketika berdepan Kelantan Warriors khususnya yang sudah sudah pasti akan menerima sokongan padu di laman sendiri bagi mengubah nasib mereka yang terperosok di dasar saingan perdana.

"Kami membuat persiapan rapi untuk menghadapi minggu keenam ini.

"Kami tidak mahu membebankan pemain dengan tekanan yang tinggi.

"Dalam tiga minggu ini, saya lihat momentum dan keinginan pemain untuk menang adalah lebih tinggi.

"Saya tidak mahu pemain berasa tertekan, cuba menikmati perlawanan dan Insya-Allah kejayaan akan datang," katanya lagi.