Emas Anuar STL Champions Cup: Penyokong mahu KL Thunder, Royal Thai Air Force di pentas final

Husna Zainudin
November 12, 2024 19:32 MYT
Perlawanan Emas Anuar Sepaktakraw League (STL) Champions Cup 2024, kembali dihangatkan dengan kehadiran empat kelab besar dari luar negara termasuk Royal Thai Air Force Takraw Club dan Garuda Sepak Takraw Indonesia.
Saingan sengit pasti ditampilkan oleh kesemua pasukan untuk merancakkan lagi aksi dan intensiti kejohanan yang dijadualkan berlangsung bermula Rabu, di Stadium Tertutup MBSJ, Selangor.
Juara STL Champions Cup 2019, Muqlis Borhan, percaya pasukan kebangsaan seperti Selangor Pistons dan Perak Bison mampu mencipta kejutan kerana kemampuan yang dimiliki mereka tidak boleh dipandang enteng.
"Ini adalah misi yang cukup penting buat KL Thunder kerana mereka telah memenangi kesemua lima Grand Prix (GP).
"Tetapi saya rasa kita juga perlu berikan tumpuan kepada Negeri Sembilan Antlers kerana kalau kita lihat sebelum ini pasukan mereka tidak begitu konsisten dalam siri jelajaj GP tetapi mereka berjaya mencari rentak permainan pada GP terakhir," katanya.
Tambahnya lagi, peminat sukan sepak takraw semestinya mengharapkan pertembungan aksi final adalah di antara pasukan KL Thunder dan Royal Thai Air Force.
#Sepak Takraw #KL Thunder #STL Champions Cup
;