SUKAN LAIN

Elmi terpantas dalam kejohanan ujian

01/08/2017 | 06:22 MYT
Bahang Sukan SEA 2017 sudah mula dirasai di Arena BMX Nasional, Nilai apabila 24 pelumba dari seluruh negara mengambil bahagian dalam kejohanan ujian, hari ini.
Empat kategori dipertandingkan, iaitu masters lelaki, elit lelaki, elit wanita dan kanak-kanak lelaki.
Saingan masa individu yang tamat sebentar tadi tertumpu kepada empat atlet negara, menyaksikan pelumba elit lelaki, Muhammad Elmi Jumari, mencatat masa terpantas, iaitu 33 saat.
Megulas mengenai catatan itu, Elmi berkata: "Itu adalah catatan terpantas dalam rekod peribadi saya, cuma ia lebih laju satu saat daripada rakan sepasukan, yang membuatkan saya lebih fokus untuk saingan seterusnya."
Rakan sepelatihnya, Ahmad Syazrin Awang Ilah, yang ketinggalan satu saat, pastinya menjadi pencabar terdekat untuk Elmi dalam kejohanan ini, yang akan diteruskan dengan tiga pusingan saringan.
Bagaimanapun, Elmi melihat situasi itu sebagai kelaziman di antara mereka dalam persiapan menghadapi pertandingan Sukan SEA, 26 Ogos ini.
"Dia adalah pencabar saya pada setiap hari. Dalam latihan pun, dia adalah antara salah seorang pencabar saya.
"Malah, dalam perlumbaan, saya akan menyasarkan kepadanya untuk menjadi lebih bagus daripadanya. Ini semua untuk kami mempersiapkan diri bagi Sukan SEA," tambahnya.
Saingan elit wanita menyaksikan Noor Quraataina Mamat mencatat masa terpantas iaitu 37.3 saat.
Pelumba negara dalam Sukan SEA:
Lelaki
• Muhammad Elmi Jumari
• Ahmad Syazrin Awang Ilah
Wanita
• Ariana Nurminda Ariffin
• Noor Quraataina Mamat
#Sukan SEA 2017 #Ahmad Syazrin Awang Ilah #Arena BMX Nasional #kejohanan ujian #Muhammad Elmi Jumari
;