Keputusan ketika ini adalah bedah siasat segera perlu diadakan atas prestasi terburuk skuad terjun negara dalam tempoh 15 tahun.

Setiausaha Agung Renang Malaysia (MS), Andy Low, memberi bayangan perubahan dalam kem kebangsaan bakal berlaku.

Merujuk kepada kenyataan Datuk Pandelela Rinong bahawa dia masih belum digugat mana-mana penerjun muda untuk mendorong supaya bersara, Andy memberi syarat buat Pandelela jika benar dia masih relevan.

"Sebagai manusia, kalau tidak dapat mencapai impian, sudah tentu anda tidak berasa gembira.

"Perubahan itu akan tetap ada, kadangkala manusia sahaja yang tidak boleh terima.

"Kami perlu perlahan-lahan mendidik mereka dan berusaha mencapai KPI (indeks prestasi utama).

"Awak pun sudah ada jawapan, awak pun sudah dengar daripadanya.

"Terima sahajalah takdirnya, kami tetapkan KPI ke atas mereka. Kalau tidak dapat ikut (program}) latihan kami, kami perlu duduk berbincang.

"Kalau nak bersama, kena lipat gandakan latihan kerana keputusan tidak menyebelahi mereka.





"Semua orang ada mempunyai hak. Atlet kena tunjukkan peningkatan, kalau setakat markah macam dekat Doha, tidak payahlah," katanya ketika ditemu bual wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, hari ini.

Menolak sebarang usaha menuding jari kepada pihak lain, Andy menegaskan jika ada isu membabitkan jurulatih, kenapa baru kini ia digembar-gemburkan.

"Mari kita sama-sama melipatgandakan usaha untuk mencari jalan.

"Kalau benar jurulatih tidak bagus, seharusnya dimaklumkan lebih awal.

"Kalau dah lepas baru nak beri maklumat macam itu, kita dah tak boleh terbalikkan keputusan," katanya.